MENANTI DETIK-DETIK KEMENANGAN
"Ummi dah balik, dah habis ke Ummi?" tanya Asma' anak ketiga kami ketika menjemputnya di Surau sekolah jam 4.45 petang sebaik kami tiba dari Kuala Kangsar.
Asma' nampak sedikit terkejut dengan kehadiran umminya di sekolah petang itu. Apa tidaknya kalau ikut rancangan awal Asma' dan abangnya Ammar harus tidur satu malam lagi di rumah Makcik Arma, sahabat kami yang sering menerima dengan tangan terbuka untuk anak-anak kami menumpang sekiranya kami harus ke Mahkamah di Kuala Kangsar selama dua hari atau lebih.
"Ye lah, dah habis awal, jadi ummi terus balik" jawab ummi tanpa memahami persoalan sebenar dalam fikiran anak tersebut.
"Dah habis ke Ummi?" tanya Asma' lagi dengan senyuman yang terukir.
"Ye lah dah habis pukul 12.30 tengahari tadi, jadi abah ajak balik cepat, tak jadilah nak berbuka di sana" jelas saya pada Asma'.
Rancangan awal sejak kes ditangguhkan pada 20hb lepas ialah untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama semua OKT, peguam dan sahabat-sahabat. Kes pada hari tersebut sepatutnya adalah ditetapkan sehingga petang, tetapi tiba-tiba Hakim mengatakan bahawa beliau mempunyai kes lain di sebelah petang maka jam 12.45 segalanya telah selesai.
" Wah bestnya. Ummi dengan abah tak payah lagi pergi sana la." seronok sangat Asma'.
"Eh taklah. Mana habis lagi Asma'. Lambat lagi rasanya. Hakim dah bagi tarikh-tarikh lain. Kena pergi lagi." terus saya berikan penjelasan pada Asma' yang terus menghilangkan seri di wajahnya.
"Alah...ye ke...Asma' ingat dah habis", hilang senyuman di wajah Asma'. Memang kami dapat memahami perasaan anak-anak yang setiap bulan pasti terpaksa ditinggalkan selama 3-6 hari.
Memang mengecewakan anak-anak ini, kerana sejak Puan Julia, Timbalan Pendakwaraya bagi kes kami memaklumkan dengan 'confident' kepada Puan Hakim bahawa beliau akan cuba sedaya upaya menghabiskan semuanya pada tarikh 19 dan 20hb Ogos, saya sudah mencanangkan kepada anak-anak dan kawan-kawan berita gembira ini.
Kalau diikutkan kes ini tidaklah mengambil masa yang lama sepertimana kes-kes yang lain yang memakan masa sehingga ada yang 10 tahun lamanya!, tetapi disebabkan ianya dijalankan dengan begitu kerap yang memakan hari cuti tahunan seseorang pekerja maka ianya terasa mengambil masa yang terlalu menekan dan amat lama untuk habis.
Memang mengecewakan dan kadangkala membuat hati rasa panas, sebagai manusia biasa. Bertungkus lumus bertolak dari rumah untuk tiba di mahkamah jam 8.30 pagi tetapi kes bermula lewat hingga mengambil masa menunggu lebih dari dua jam.
Namun saya khususnya tetap bersyukur kerana kami masih boleh hidup di luar dan bukannya terpaksa merengkuk di dalam penjara kerana kesalahan yang tidak pernah kami lakukan (buat masa ini). Kami masih terus dibicarakan di Mahkamah walaupun kami yakin bahawa polis telah salah menangkap kami, ini kami yakin dan kini peguambela kami berusaha membuktikannya di Mahkamah dan memastikan pihak pendakwaan gagal membuktikan di sebaliknya. Yang 13 orang yang ditangkap itu adalah mereka yang berhimpun secara haram dan merusuh.
Namun saya khususnya tetap bersyukur kerana kami masih boleh hidup di luar dan bukannya terpaksa merengkuk di dalam penjara kerana kesalahan yang tidak pernah kami lakukan (buat masa ini). Kami masih terus dibicarakan di Mahkamah walaupun kami yakin bahawa polis telah salah menangkap kami, ini kami yakin dan kini peguambela kami berusaha membuktikannya di Mahkamah dan memastikan pihak pendakwaan gagal membuktikan di sebaliknya. Yang 13 orang yang ditangkap itu adalah mereka yang berhimpun secara haram dan merusuh.
Kami bersyukur kerana ramai sahabat dan ahli parti dan jamaah yang prihatin memastikan semua yang ditangkap ketika perhimpunan aman disediakan wang ikat jamin yang secukupnya untuk memastikan mereka dijamin dan dibebaskan dengan jaminan. Setiap kali ada tangkapan wang ikat jamin yang banyak harus disediakan. Bagi kes 13 OKT Kuala Kangsar, wang ikat jamin mereka adalah paling tinggi yang pernah saya dengar bagi satu kes perhimpunan aman. RM 4000 seorang dengan dua orang penjamin.
Syukur kerana jumlah itu dapat dikumpulkan dan disediakan di hari mereka perlu dijamin, yang seterusnya menyelamatkan mereka dari terus terpaksa berada di lokap.
Kami terus harus bersyukur dengan kehadiran sekumpulan peguambela yang terus menerus membela ke semua OKT dengan prinsip menegakkan keadilan hingga ke saat yang terakhir.
Kami bersyukur dengan sokongan sahabat yang berterusan mendo'akan kesejahteraan hidup kami dan secara khusus untuk kemudahan kami melalui perjalanan kes yang panjang.
Memang kami harus terus bersyukur.
Paling bersyukur sudah tentulah kerana sebuah akta yang ZALIM, ISA tidak dikenakan ke atas ke 13 orang OKT Kuala Kangsar kerana sekiranya ianya berlaku semua kebebasan dan hak asasi seorang manusia akan tercabut dari diri mereka dan ahli keluarga akan terus menderita tanpa tahu bila berakhirnya. Ancaman dikenakan ISA turut dicanangkan oleh pegawai polis ketika suami ditahan di dalam lokap selama 4 hari 3 malam.
Pengajaran perit dan sedih saya lihat di hadapan mata di kandang orang salah pada pagi semalam menambahkan lagi rasa kesyukuran dan keinsafan.
Hanya kerana seorang OKT bagi satu kes jenayah gagal mengumpulkan dan menyediakan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 yang dikenakan ke atasnya beliau terpaksa merengkuk di dalam penjara selama lebih dari dua tahun menanti hingga perbicaraan bagi kesnya diselesaikan dan hingga Hakim membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman.
Selama dua tahun merengkuk di dalam penjara mungkin bagi kesalahan yang tidak pernah dilakukan. Dipaksa berpisah dari isteri, anak-anak dan keluarga.
Semalam saya lihat sebuah kegembiraan dan sebuah kemenangan untuk diri OKT tersebut yang kebetulan pernah menjadi teman selokap suami saya dan OKT lain untuk kes Ops Bubar DUN PERAK pada Februari tahun lepas. Air mata menitis di wajahnya dan ahli keluarganya. Ahli keluarga mengangkat tangan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Yang Maha Adil lagi Maha Mengasihani.
"Mahkamah telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan terdapatnya kes ke atas tertuduh, maka tertuduh dibebaskan tanpa perlu membela diri" begitulah ungkapan Puan Hakim yang mengembalikan sebuah maruah yang mungkin hilang lantaran pertuduhan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya. Kebahagian dan kelegaan dari pihak keluarga yang lama menanti sudah tentu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
.......dan kami menantikan detik tersebut "Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan tertuduh di dalam kes ini berhimpun secara haram dan merusuh, maka mahkamah membebaskan kesemua mereka tanpa perlu membela diri"
Amin...................
No comments:
Post a Comment