Betapa sakitnya kita ini.....
Sedang khusyuk-khusyuk menatap skrin komputer tiba-tiba handphone berdering.
"Kak N kat mana ni?" tanya Sham.
"Hi..hi...kat rumah lagi" tadi beria saya katakan pada Sham nak bergerak dari rumah jam 11 pagi namun saya tunggu hingga Sham bersiap keluar dari rumahnya baru saya akan bergerak keluar dari rumah di Gombak menuju ke Masjid Jamek Kajang. Sham tinggal tidak jauh juga dari Masjid Kajang dan gerainya di sana.
Terus saya bersiap dan berlepas ke Kajang. Perjalanan sangat lancar. Bertolak jam 12 tengahari, 12.30 hari saya sudah ada di dalam perkarangan Masjid Kajang. Menyesal juga sebenarnya keluar agak lewat kerana saya berniat untuk membantu Sham membuka kedainya.
Namun bila tiba di sana pintu gerai masih tertutup. Syukur, dan Syam tiba beberapa minit kemudian. Dapatlah sedikit sebanyak saya membantu apa yang patut.
Sikit saja bantunya saya sudah mengambil sebungkus nasi lemak dari gerai sebelah dan bercadang untuk duduk dan makan di meja di hadapan gerai. Tiba-tiba muncul seorang wanita bersama seorang anak perempuannya mundar mandir di hadapan gerai bertanyakan di mana letaknya telefon awam. Kami membantu menunjukkan tempatnya yang tidak jauh dari gerai. Namun seketika kemudian dia datang balik katanya ianya tak berfungsi dan bercadang mencari yang lain.
Kemudian terkeluarlah cerita sedih dari mulutnya setelah lama tertahan dan saya mengorek sedikit demi sedikit kisah hidupnya dan apa tujuannya dia ke situ.
Saya menyerahkan handphone saya agar dia dapat menghubungi kawannya untuk meminta pertolongan membawanya pulang kerana ada sekampit beras 10kg untuk dibawa pulang. Malangnya kawan tersebut juga tidak membawa kereta.
Saya jemput dia duduk dahulu dan kami berbual-bual. Tujuan dia datang ke Masjid ialah untuk mengambil beras tersebut dan sumbangan sebanyak RM30. Beliau hidup susah dan sudah berusaha memohon bantuan zakat tetapi tidak berjaya.
Mempunyai 8 orang anak, suami sakit dan kebanyakan anak-anak mempunyai penyakit lelah yang kronik. Beliau juga tidak ada kerja tetap selain hanya mengambil upah mencuci rumah sekali sekala kerana beliau juga berpenyakit lelah. Mempunyai kemahiran menjahit tetapi tidak mempunyai mesin jahit. Pernah ada mesin jahit namun telah dirampas apabila beliau gagal membayar sewa rumah yang dahulu dan semua barangan dirampas apabila rumah mereka disita.
Pernah mencuba menjual buah-buahan namun tidak banyak mendatangkan hasil kerana wang pendapatan terpaksa digunakan untuk membayar balik hutang-hutangnya.
Beliau menceritakan segala jerih payah hidupnya sambil cuba menahan air mata dari keluar. Beliau kemudiannya mengeluarkan sebungkus plastik yang di dalamnya terdapat sehelai jubah. Katanya ibu mertua yang hadiahkan lepas balik dari Mekah dan dia ingin menjualnya untuk mendapatkan wang. Saya menyuruhnya simpan semula.
Sham yang memang agak pakar dalam bidang ini kerana mereka suami isteri juga berusaha mencari rezeki dengan pelbagai jalan cuba membantu dengan pelbagai cadangan agar dia dapat berusaha sendiri. Namun kata Sham "dia buntu tu". Ya mungkin juga apabila sudah terlalu susah dengan suami yang bermasalah dan anak-anak yang sakit.
Kami menjemputnya makan namun berkali-kali juga dia menolak kerana dia tidak sampai hati untuk makan tanpa anak-anaknya. Dia tetap tidak mahu makan. Katanya dia sudahpun membeli roti dan air dari wang RM30 yang diterimanya itupun kerana sudah menggigil kelaparan.
Tengahari itu kami berdua membantu wanita itu bersama seorang anak perempuannya yang berusia 9 tahun sekadar yang kami mampu. Bekalkan sedikit makanan dan sedikit wang untuk mereka sekeluarga. Selepas ini tidak tahu bagaimana, kami juga agak buntu bagaimana untuk membantu..anak perempuannya sekadar duduk diam bermain dengan botol air yang diisinya dengan sekotak air soya yang Sham hulurkan.
Hari itu dia tidak ke sekolah kerana ibunya tidak tahu apa yang boleh diberikan sebagai makanan untuk anak kecil itu...
Saya terkenangkan anak-anak saya di rumah.....saya juga terkenangkan kalau saya kaya raya punya wang yang berjuta pasti saya dapat bantu dengan lebih lagi dan mudah saja namun saya juga tertanya adakah di saat itu.....dengan harta melimpah ruah apakah saya masih punya rasa seperti yang saya punya sekarang untuk membantu sedaya yang mungkin....
Apapun kami bersyukur dapat terus membantu dan kakak di gerai sebelah yang menjual nasi lemak juga gembira dan berpuas hati mengemas gerainya dengan lebih awal lagi.
"Awal kak habis hari ini?" tegur Sham kepadanya.
"Alhamdulillah, berkat banyak bungkusan yang diambil tadi agaknya" jawapnya sambil tersenyum.
Begitulah putaran hidup...kita tidak akan jatuh miskin dengan menyumbang, memberi dan terus memberi...
2 comments:
tq ..kak... pengalaman harian yg menginsafkan saya sebagai pembaca...
semoga akak dan anak2 akak yg dlm ujian itu...dipermudahkan urusan nya....mmmmmmmmm
Zuraimi,
Terimakasih kerana membaca dan sama-sama mengambil pengajaran dari kehidupan harian insan lain yang tidak kita kenali.
Post a Comment