Sunday, 6 February 2011

Apa khabar anak-anak kita?

Tahun ini kali pertama saya menghantar anak mengikuti kelas tambahan di satu pusat tuisyen yang sudah boleh diumpamakan sebagai sebuah sekolah, kerana mempunyai banyak kelas. Memang risau memikirkan tentang pergaulan, namun saya terpaksa juga melepaskan dia ke pusat tuisyen tersebut.

Ketika menghantarnya pagi tadi, melalui satu restoran mamak bettul-betul di bawah pusat tuisyen tersebut seorang anak gadis belasan tahun duduk-duduk minum di restoran tersebut bersam dua orang kawan yang lain. Di tangan sepuntung rokok. Saya hanya mampu membenci dan berleter di dalam hati.

Do'a dipanjatkan agar anak-anak kita dijauhkan dari tabiat yang buruk tersebut.

Sejauh manakah imej-imej ngeri yang dipaparkan di kotak rokok mampu menghalang manusia dari merokok?

Di sebelah malamnya pula sebaik menunaikan solat maghrib kami berjalan menuju ke pusat membeli belah The Curve. Menyusuri restoran-restoran yang bersuasanakan gelap dengan hanya diterangi lampu malap. Deretan restoran yang jelas menyediakan minuman keras. Duduk di sebuah meja di salah sebuah restoran tersebut ialah seorang anak gadis yang jelas berkulit sawo matang dan berpewatakan melayu bersama teman lelaki, di atas meja mereka kelihatan dua gelas yang berisi minuman yang meragukan itu.

Bila kami berjalan melepasi mereka nampak si gadis agak tidak keruan. Sekali lagi hanya terbit rasa benci dalam hati. Betapa rosaknya generasi anak muda kita. Dan saya hanya mampu membenci dalam hati. Taraf selemah-lemah iman.

Saya perlu cari kekuatan dan keberanian di lain kali untuk pergi dan mengajak mereka kepada kebaikan dan cegah dari kemungkaran.

Apa pula tindakan anda bila dalam situasi begini?

Mampukah kita pergi bertemu, menepuk bahu bersalam dan duduk bersama anak-anak remaja ini? Mungkin ibu bapa lansung tidak mengetahui sisi hitam anak-anak sendiri, mungkin anda malah mungkin saya sendiri. Moga Allah melindungi anak-anak kita dari segala gejala buruk yang bakal merosakkan mereka dan merosakkan generasi yang akan memimpin di masa hadapan.

Tiba-tiba teringat pula tentang kesah filem "Aku Masih Dara" yang kini berulangkali dipertontonkan di ASTRO First. Itulah kesah sebenar yang berlaku kepada anak-anak gadis dan teruna Islam masa kini. Ianya benar-benar berlaku maka dengan itu lahirlah anak-anak luar nikah yang tinggi jumlahnya di dalam negara yang mengaku sebuah Negara Islam.

No comments: