Tuesday, 22 February 2011

"Ummi kena ke Mahkamah lagi, Abah kena ke Mahkamah lagi?"

Dalam perjalanan menghantar Asiah ke sekolah tiba-tiba Asiah melontarkan persoalan seperti biasa.

"Ummi, kes Abah dah selesai ke ummi?" tanya Asiah serius sambil mata dikenyitkan menahan panahan matahari pagi yang menyilaukan mata.

"Eh, mana habis lagi, belum lagi." jawab saya ringkas kepada Asiah.

"Habistu dah tak sambung lagi ke Ummi?" tanya Asiah lagi seolah tidak puas hati dengan jawaban yang diberi.

"Sambung lagi, tapi kita kena tunggu Mahkamah bagi tarikh baru. Hari tu kita dah pergi lepas tu mahkamah kan tangguh sebab DPP Puan Julia tu dengan Puan Hakim tak datang." saya cuba mengingatkan Asiah tentang 'trip' kami yang terakhir ke Mahkamah Kuala Kangsar pada Jumaat 21hb Januari yang lepas.

"ooooooo" panjang jawapan Asiah seperti memang sangat faham dan ingat peristiwa kali terakhir kami ke Mahkamah pada tarikh tersebut.

Jumaat 21hb Januari saya mengambil Asiah dari sekolah dengan lebih awal kira-kira jam 10 pagi. Selepas bersiap kami berdua bertolak ke Tanjung Malim dan bertemu dengan suami di sana sebelum bertolak ke Kuala Kangsar bersama-sama. Kes sepatutnya bermula jam 2.30 petang.

Kami tiba di Mahkamah jam 3.00 petang dan disambut oleh Peguambela Augustine Anthony, dan 3 orang teman OKT yang lainnya. Mereka baru sahaja keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

"Dah habis, tak ada pun, Puan tak dapat hadir, Puan Julia juga tidak hadir." kami diberi maklumat ini.

Kami buang semua rasa penyesalan mahupun rasa kerugian kerana berusaha meluangkan masa dan segala untuk ke sana. Kami bersyukur kerana dapat juga hadir memberikan sokongan kepada peguam kami.

Peguam diminta menghantar 'written submission' pada 15hb Februari dan selepas itu Puan Hakim akan memberikan tarikh untuk membuat keputusan bagi kes tersebut.

Hari ini sudah masuk sebulan tarikh tersebut telah berakhir dan sebulan juga saya sudah tidak ke mahkamah untuk mana-mana kes yang terbabit, PROTES, HIMPUNAN MANSUH ISA dan 'OPS BUBAR DUN PERAK'. Sedikit aman terasa.

Bila perlu ke mahkamah melalui perbicaraan terasa satu episod penyiksaan dan penderaan mental dan fizikal.

Bila menghadiri perhimpunan aman dengan rela hati, ditangkap dan didakwa maka perlulah mengambil tanggungjawab sendiri untuk teruskan 'perjuangan'. Tidak boleh 'mengelat' dari hadir ke mahkamah bila ada perbicaraan. Sekiranya para peguam yang memberi khidmat secara sukarela dapat menghadirkan diri ke mahkamah setiap kali perbicaraan diadakan tanpa sebarang bayaran maka kenapa kita yang didakwa tidak boleh mengambil tanggungjawab untuk hadirkan diri dan berdisiplin serta tidak mementingkan diri.

Ianya memang sesuatu yang membebankan lebih-lebih lagi sekiranya kita bekerja, namun sudah tentu ada jalan keluarnya sekiranya dibawa berbincang dengan peguam secara terus terang dan berbincang bersama rakan-rakan OKT yang lainnya. Kita semua boleh saling bantu membantu meringankan beban semua yang terbabit.

Sekiranya kita sebagai OKT gagal hadir ke mahkamah berkali-kali tanpa memberikan alasan dan dokumen sebagai bukti, waran tangkap akan dikeluarkan. Selagi kita tidak hadir untuk membatalkannya polis akan mencari dan menangkap kita. Kemungkinan dipenjarakan, wang ikat jamin dilupuskan dan dihadapkan di hadapan Hakim untuk dibuat permohonan ikat jamin yang baru yang lebih tinggi dengan penjamin yang baru. Itu kepayahan yang lebih lagi yang perlu dilalui.

Memang perjalanan setiap kes tangkapan perhimpunan aman akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya dan menyiksakan kerana itulah tujuan utama mereka yang berkomplot untuk menangkap peserta perhimpunan aman. Untuk menyusahkan dan membuat kita serik.

InsyaAllah bila tiba saat ianya berakhir dengan sebuah kemenangan ianya akan jadi lebih manis dengan setiap pengorbanan yang kita lakukan, bukan diri kita sendiri sahaja malah pada semua yang terlibat dan terbabit.

Yang pasti untuk diri kami suami isteri, sudah tentu anak-anak kami akan merasa lega bila ianya berakhir.

"ummi kena pergi mahkamah lagi, abah kena pergi mahkamah lagi?" mungkin tidak kedengaran lagi persoalan ini.

4 comments:

ISA said...

Salam kak,

Terharu membacanya, insyallah... semuanya akan berakhir segera jika ada perubahan dalam PRU13 nanti.

Salam hormat juga kepada akak dan abang serta keluarga dalam menghadapi kerenah penguasa yang zalim terhadap demokrasi rakyat.

ummu asiah said...

Bro Isa...

Terima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat.

InsyaAllah...sebenarnya hikmah bila ada perbicaraan macam ni kita sentiasa mengingati kezaliman penguasa...

mama rikishi said...

perjuangan kak N yang amat suci.

ummu asiah said...

mama rikishi..:)

murninya kata-kata ku..Moga Allah berkati...