Friday, 30 May 2008

Ratusan Kerdipan Lilin depan Kem Tahanan Kamunting-dari malaysiakini

(Anda semua dijemput bersama kami menyatakan sokongan dan bantahan kepada kezaliman ini.)

Ratusan kerdipan lilin depan kem ISA
Jimadie Shah Othman May 29, 08 2:14pm

Seribu orang dengan kerdipan api lilin di tangan masing-masing dijangka menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di depan kem tahanan Kamunting, Taiping pada sebelah malam 7 Jun ini.

Perhimpunan itu, anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), diadakan sempena kempen membebaskan 10 tahanan yang meringkuk di kem itu selama enam tahun, kata pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kem tahanan Kamunting merupakan simbol atau mercu tanda pembenaran ke atas kezaliman. Kewujudan kem tahanan itu adalah akibat daripada wujudnya ISA."

“Kem tahanan itu pernah menempatkan beribu-ribu tahanan ISA yang tidak pernah dibicarakan dan dibuktikan kesalahan mereka di mahkahmah,” katanya di sidang media tengah hari tadi.

Pengarah kempen 'bebaskan tahanan enam tahun ISA', Norlaila Othman (foto, tengah) di sidang media itu, menjelaskan pihaknya memberi peluang kepada penyokong GMI dari sebelah utara Semenanjung menunjukkan bantahan mereka.

Suami Norlaila kini ditahan selama enam tahun di Kamunting. Mat Sah Mohamad Satray, yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Menteri besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah memberikan sokongan terhadap program itu tetapi belum mengesahkan kehadiran, kata Syed Ibrahim.

Menurutnya, Mohammad Nizar juga bersetuju membawa usul membantah ISA di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti diluluskan di sidang DUN Selangor awal minggu ini.

"Kita sedar walaupun mereka tiada kuasa untuk memansuhkannya (ISA), tetapi (usul) ini penting untuk rekod. (Tindakan) ini akan menjadi sejarah tersendiri," katanya lagi.

Perkembangan positif itu, kata Syed Ibrahim, disebabkan Pakatan Rakyat ingin mengotakan janji mereka dalam manifesto pilihanraya umum lalu.Selepas ke DUN Selangor, GMI merancang bertemu menteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak pada 7 Jun ini, sementara pertemuan dengan dua lagi pemimpin utama negeri Pakatan, Pulau Pinang dan Kelantan, sedang ditetapkan.

Sejak 'kempen bebaskan tahanan 6 tahun ISA' dilancarkan pada 11 April lalu, menurut Norlaila, 4,200 orang telah menandatangani petisyen di internet dan 10,000 daripada 50,000 poskad kepada menteri dalam negeri telah diisi.

Syed Ibrahim berkata GMI akan memaklumkan kepada polis Taiping dalam masa terdekat berhubung perhimpunan itu agar ia berjalan lancar.

Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah M Salleh, yang turut hadir di sidang media itu, berkata perhimpunan menyalakan lilin tidak bercanggah dengan Islam kerana acara itu tidak berkaitan dengan budaya Kristian seperti tanggapan sesetengah pihak.

2 comments:

Abang Long said...

Salam hormat. Teruskan perjuangan yang baru bermula.

Oh Taiping kampungku !

Mohon izin dari Puan, dapatlah kiranya kita berutus emel ?

ummu asiah said...

abang long..

jom ikut balik taiping sekali..boleh jumpa di sana dan beri sokongan. MB Perak pun dah janji akan join sekali. Pertama kali buat candle light vigil di depan KEMTA.

boleh emel saya di ummuasiah2001@hotmail.com