Thursday 20 January 2011

Eh! Hakim Lain, Mana boleh!!!!

19hb Januari 2011, kami memulakan perjalanan dari Gombak menuju ke Kuala Kangsar seawal jam 5.30 pagi untuk membolehkan kami tiba di perkarangan Bangunan Mahkamah Kuala Kangsar tepat masanya jam 8.30 pagi. Syukur kami tiba di Kuala Kangsar jam 8.00 pagi maka dapatlah kami bersarapan terlebih dahulu kerana menjangkakan perbicaraan akan berlansung lama.

Memasuki kamar mahkamah seperti biasa jika ada kes yang lain berjalan seiring maka penuh juga kamar mahkamah. Peguambela Augustine Anthony telah sedia berada di tempatnya.

Belum sempat melabuhkan badan ke bangku mahkamah terdengar jeritan polis mahkamah seperti biasa "court bangun" dan Hakim masuk mengambil tempatnya.

Terkejut dan terpegun!

Mana mungkin Hakim yang baru pula mengambil tempat. Kes lain dipanggil untuk disebut dahulu dan saya masih menaruh harapan kemungkinan dia akan keluar dan Hakim Norsalha, Hakim asal kes 'OPS Bubar DUN Perak' akan keluar mengambil tempatnya semula.

Keadaan yang tenang jadi sedikit kecoh apabila ke semua 13 orang OKT (orang kena tangkap) dipanggil nama seperti rutin biasa untuk berbaris dan mengambil tempat.

"Meor Shafrizal, Zulhaizam, Mohd Faiz, Isha, Bad Latif, Ade Hilmi, ........" hingga semua 13 orang mereka siap berdiri mengambil tempat.

Maka harapan saya untuk melihat Puan Salha masuk dan menyambung misinya yang bermula pada 13hb Fenruary 2009 hancur berkecai. Hakim yang baru itu masih di situ.

"Hakim lain!!!" jerit hati saya sambil melontarkan kata hati itu ke dalam laman sosial Facebook dan Twitter.

"Hakim lain!! Kami sudah dpt info yg Hakim kami telah ditukar ke Sg Petani 1 Januari dulu. Kes dibicara di hadapan Hakim lain mana adil dapat Hakim baru pulak!" 8.42am.

Ya, bagaimana mereka sanggup meletakkan Hakim lain untuk mendengar penghujahan peguam bela dan pendakwaraya dan seterusnya membacakan keputusan apabila hampir dua tahun kes dibicarakan dan didengar di hadapan Hakim yang lainnya. 30 orang lebih saksi dikemukakan, 1000 keping gambar dianalisa, 5 keping VCD ditontonkan dan diputar entah berapa puluh kali di setiap kali perbicaraan dijalankan, mana mungkin penghakiman dibuat di hadapan Hakim yang hanya akan baca nota hujahan ke dua belah pihak.

Laju sahaja saya mendapat respon dari sahabat seorang peguam muda Puspa "Eh eh tuntut hakim yg sama! "

Ya memang betul...dengan segera Peguambela Augustine Anthony bangun memperkenalkan diri dan memohon agar hujahan didengar di hadapan Hakim Norsalha juga kerana Augustine telahpun menyerahkan nota hujahan pihak pembelaan sejak tarikh pertama ditetapkan untuk sesi penggulungan iaitu pada 26hb November 2010. Malah beliau telah menyerahkan teks tersebut lebih kurang dua minggu lebih awal.

Pada tarikh 26hb November 2010, Timbalan Pendakwaraya, Puan Julia yang mengetuai pihak pendakwaan tidak muncul tanpa sebarang notis dan nota hujahan mereka juga tidak diterima. Maka sesi berkenaan telah terpaksa ditangguhkan pada tarikh yang baru Isnin 20hb Disember 2010.

Pada hari Jumaat 17hb 2010 ketika kami sudahpun berada di luar daerah bercuti sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar untuk ke mahkamah. Kami telah menerima panggilan dari Mahkamah memaklumkan bahawa kes terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang baru pula iaitu 19hb Januari 2011. Bila ditanya mengapa ditangguhkan di saat akhir, jawapan yang saya terima ialah "Puan tidak ada". Mudah saja...

19hb Januari, kami menanti kedatangan tarikh tersebut dan yakin segalanya akan berjalan lancar kerana tarikh tersebut sepertimana tarikh yang lainnya dipilih oleh Mahkamah sendiri. Tapi sayangnya ianya tetap terpaksa ditangguhkan sehingga waktu kami sudah berada di dalam mahkamah setelah membuat pelbagai persediaan.

Tuan Haji Nazeer ketua kumpulan OKT menunjukkan salinan nota hujahan dari pihak pendakwa yang baru diterima sambil diperhatikan oleh peguambela, Augustine Anthony. Satu nota yang nipis sahaja berbanding salinan hujahan pihak kami.

Sekali lagi wajah Timbalan Pendakwara tidak kelihatan lansung. Di luar mahkamah setelah kami beredar keluar dan berkumpul Peguambela Augustine menunjukkan salinan nota hujahan yang beliau lihat ada diatas meja ketika beliau masuk ke dalam mahkamah pada pagi tersebut!

"Ya Allah Sabarkanlah kami. Ditangguh, Peguambela mohon sebut semula sebab mahu submission di dibuat di hadapan Puan Hakim yg asal. Tangguh 28hb utk sebutan dan OKT tak perlu hadir ke Mahkamah."

Begitulah kata hati saya memohon moga Allah terus menerus mengurniakan buat kami kekuatan dan kesabaran menghadapi kerenah Mahkamah dan segala yang berkaitan dengannya. Kami diuji dengan pelbagai ujian sepanjang perjalanan kes dibicarakan.

Apabila kami gagal hadir sekali sahaja... "Minta OKT tiba dalam masa sejam dari sekarang".

Apabila kami lewat sekali sekala sahaja..... "Lain kali jangan lewat atau waran tangkap akan dikeluarkan".

Apabila peguambela menyatakan tidak dapat hadir kerana ada urusan lain yang lebih amat penting.... " Tak mengapa OKT boleh bela diri mereka sendiri jika peguambela tidak dapat hadir " atau dikatakan "apakah kes tersebut atau urusan tersebut lebih penting atau sengaja mencari alasan untuk menangguhkan kes".

Apabila mereka lewat atau gagal hadir.................kami pulang dengan penuh kekecewaan menyimpan rasa dendam dan geram di hati yang berpanjangan...akhirnya kami menerima kenyataan ini dengan hati yang terbuka kerana bak kata Fadiah seorang peguam muda di Lawyers for Liberty, OKT, kita adalah Orang Kena Tindas.

Namun respon dan kata-kata sokongan dari sahabat semua terus memberikan kekuatan kepada kami.

"Kesiannya.. Letih, Duit minyak. Moga Allah beri kesabaran dan kekuatan." Ya memang benar, memang amat 'frustrating' setelah kita meletakkan sepenuh harapan.

"ikut suka dia nak tangguh2 ...dengar pun geramm !!. Ya memang betul geram dan marah bukan sahaja ikut suka masa mereka nak tangguh-tangguh, lagi zalim ikut suka nak letak Hakim lain pula.

Seperti biasa kami akan menghiburkan hati dengan mencari kedai makan kegemaran selain warong Makcik "Blues" berdekatan stesen keretapi, warong Abang Lan di tepi jalan di Sayong kami cari untuk menjamu selera dengan laksanya yang sedap dan air kelapa lemon yang menyegarkan.


"Ada kes ya pagi ni?" tanya kakak pemilik kedai isteri Abang Lan.

"Semalam kami buat di sini buat solat hajat untuk kes ni." jelas kakak lagi. Syukur dan tenang sungguh rasa hati mendengarnya. Ramai yang memberikan sokongan kepada kami semua
.


Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin memberikan kata-kata semangat bahawa setiap perjuangan pasti ada dugaan untuk semua. Beliau berterima kasih kepada pasukan peguambela yang bertungkus lumus berusaha. Mereka semua sentiasa membantu memberi dan terus menberi.



Ramai yang turut datang memberikan semangat namun semua tidak sempat masuk melabuhkan diri ke dalam mahkamah kerana beberapa minit sahaja kes sudah ditangguhkan. Pimpinan PAS Perak ramai turut hadir. Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lm, ADUN Lubok Merbau, hH Zainuddin, YDP Kuala Kangsar Tn. Hj. Ibrahim dan Bendahari PAS Perak, Hj Abdul Rahim Ariff.

Terima Kasih semua.

Walau siapa kita, sebagai rakyat jika kita biarkan pemimpin berkuasa dan bermaharajalela maka kita akan terusan menjadi orang yang tertindas dan dizalimi...namun kena terus berusaha dan bak kata Zunar kena terus mendapat 'title' 'Orang Kuat dan Tabah' untuk terus beroleh keadilan.

"Zunar Kartunis Kak N, Bad dan semua OKT (Orang Kuat dan Tabah) , semoga beroleh keadilan.

Dan jangan jadi OKU dulu kini dan selamanya......"Ronasina Kartunis kami sentiasa mendoakan keadilan tertegak. kami sedia di belakang. jangan jadi OKU sudah..(Orang Kuat Umno).

Bertemu lagi pada 28hb Januari 2011...moga mendapat satu tarikh yang sesuai untuk Hakim 'Membacakan' keputusannya setelah selesai sesi penggulungan nanti.

Kami beredar dari Mahkamah menuju ke Kelab Sultan Idris untuk berbincang dan makan-makan seperti biasa.

Sebahagian dari OKT.

Isteri-isteri OKT, Isteri YB Zainuddin berkot hijau dan yang membelakang kamera ialah Suhana OKT wanita.

3 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Semoga Allah melindungi puan dan sahabat-sahabat semua daripada kezaliman. Amin....

Hani Rahman said...

Semoga terus tabah n istiqomah dalam perjuangan ...

Anonymous said...

Selepas saya membaca entry ini, hati saya mengucapkan 'Subhanallah!...'
Allah swt amat menyayangi kalian, amat besar RahmatNya keatas kalian kerana sesungguhnya doa orang-orang yang dizalimi adalah amat mustajab..
Berdoalah kerana doamu didengariNya!


Kak Nor.