JOM BUAT PERUBAHAN-Perkongsian dari blog SAIFULISLAM.COM
Bagi yang mengikuti isu-isu semasa mengenai politik negara khususnya yang melanda Parti PAS, dan tidak melayari blog Saifulislam, saya kongsikan secara 'copy and paste' apa yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal.
Sebelum ini saya berkongsi mengenai penulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai keperluan mengadakan Mesyuarat Agong Khas. Seperti biasa pasti akan ada banyak susulan kenyataan dari pimpinan PAS yang lainnya, jadi sama-sama kita baca dari sudut pandang yang lain yang merangkumi semua.
Moga kita beroleh pemahaman dan mendapat manafaat darinya.
Kita semua inginkan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia, kita inginkan satu perubahan untuk memastikan Malaysia dipimpin oleh mereka yang benar-benar ikhlas dan mahu perjuangkan hak rakyat.
Rakyat yang punya kesedaran sanggup berjuang dan berkorban walau terpaksa melalui jalan sukar dan panjang. Itulah hakikat sebuah perjuangan.
Bacalah......
Berubahlah Untuk Memimpin Perubahan – II
ISLAM memimpin perubahan.dipetik dari blog saifulislam
Tetapi MUSLIM itulah yang merealisasikan slogan tersebut.
Justeru cita-cita PAS untuk memimpin perubahan yang sedang pesat melanda kehidupan semasa kita, amat bergantung kepada sejauh manakah integriti dan daya kompetensi pendukungnya yang MUSLIM itu.
Sesungguhnya tidak mudah untuk mengendalikan sebuah gerakan sebesar PAS di Malaysia. Dengan keahlian mencecah sejuta, sebahagiannya menyertai PAS dengan kefahaman Tarbiyah, manakala sebahagian yang lain menyertainya dengan kesedaran Siasah. Sebahagiannya naik kapal dengan rasional, sebahagian lain pula emosional. Dari profesor di menara gading, hinggalah serendah-rendah pendidikan manusia, tetapi ada sesuatu yang difikirkannya.
Kedua-duanya berkumpul di bawah satu hasrat dan cita-cita, tetapi dengan kapasiti yang amat luas kepelbagaiannya.
Justeru sesuai dengan saiz PAS yang semakin besar, jiwa dan pemikiran pendukungnya juga harus membesar sama. Pandangannya perlu besar, dan bersedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang datang akibat saiz yang sebegitu besar.
Setelah pemerintahan Islam bukan lagi di kejiranan Madinah, berubah kepada sebuah Daulah yang bersempadankan dua lautan dan benua, kaedah bai’ah bukan lagi berjabat tangan seorang demi seorang di minbar masjid. Ada perkembangan yang berlaku, dan perkembangan itu perlu.
KOMUNIKASI GENERASI EMAS
Sebagai perbandingan, nilaikanlah keberkesanan komunikasi di era Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam memindahkan satu berita atau maklumat daripada seorang kepada seorang yang lain, berbanding dengan komunikasi di era Umar al-Khattab r.a, Ali bin Abi Thalib r.a, membawa kepada era Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.
Tidak perlu menunggu hingga ratusan tahun selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hanya kira-kira 25 tahun selepas kewafatan Baginda, umat Islam sudah teruji dengan Perang Saudara di medan Siffin, berpunca daripada beberapa sebab, terutamanya soal KOMUNIKASI.
Muawiyah radhiyallaahu ‘anhu bukan pemberontak sebagaimana yang dikehendaki imej sebegitu oleh musuhnya. Muawiyah selaku ahli keluarga kepada Uthman radhiyallaahu ‘anhu menghendaki supaya pembunuh Uthman diheret ke muka pengadilan. Hal tersebut harus menjadi keutamaan tertinggi pada ketika itu. Ali radhiyallaahu ‘anhu pula melihat, urusan menghukum pembunuh Uthman adalah sulit sekali untuk dilakukan kerana kucar kacir umat Islam tanpa pemimpin akibat terbunuhnya khalifah Islam ketiga itu. Malah lebih memburukkan keadaan, kumpulan yang memberontak terhadap Uthman hingga membawa kepada pembunuhannya telah membai’ah Ali secara licik dan meletakkan diri mereka di tengah posisi tentera Ali.
Sungguh membingungkan.
Ali berada di Madinah.
Muawiyah berada di Syam.
Jarak ribuan batu yang memisahkan mereka tidak memungkinkan suatu bentuk komunikasi yang efektif untuk masing-masing saling mengetahui sisi pandangan masing-masing.
Persengketaan Perang Siffin menjadi lembaran sejarah yang hitam untuk dikenang oleh umat Islam zaman berzaman. Biar pun Muawiyah dan Ali, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri, kebenaran tidak cukup untuk menyekat perp
ecahan. Benar sekali sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Sahih Muslim – hadis no: 157]
Ya, perpecahan boleh berlaku di dalam kelompok yang batil. Perpecahan juga boleh melanda kelompok yang benar. Asasnya ialah pada cara pengendalian mereka, sama ada menetapi hukum Sunnatullah atau sebaliknya.
Kita sangat berlapang dada dalam memahami asas kesukaran berkomunikasi yang berlaku di antara Muawiyah dan Ali. Jarak memisahkan mereka. Teknologi masih terbatas.
Namun apakah pula alasan untuk sebuah komuniti di era siber ini mengalami pengurusan maklumat yang tunggang langgang?
KOMUNIKASI GENERASI SEMASA
PAS seharusnya sedar dirinya sudah berada di tengah arus perdana. PAS tidak boleh lagi berfikir seolah-olah mereka hanya sekumpulan individu yang boleh bertemu di sebelah pagi untuk merancang, dan bertemu kembali di sebelah petang untuk muhasabah. Dengan keahlian mencecah sejuta, PAS sedang diuji dengan keupayaannya menguruskan penyebaran maklumat. Bukan sahaja di kalangan pendukungnya, malah rakyat jelata juga mahu tahu.
“Kita sabar dulu. Tunggu penjelasan daripada Tuan Presiden”
“Jangan percaya dengan manipulasi Utusan Malaysia malah Malaysiakini. Kita mesti berbaik sangka”
“Kami ada maklumat yang kami perolehi daripada sumber tertinggi tetapi tidak boleh didedahkan secara terbuka”
“Salah satu petanda Takwin yang sempurna, adalah pada ketaatan yang mutlak kepada arahan atasan”
Kesemua kenyataan di atas, menggambarkan yang PAS masih berfikir kecil ketika tubuhnya sudah membesar bagai raksasa. Masih menganggap, penyampaian maklumat dari mulut ke mulut, menanti pimpinan turun ke akar ubi untuk membuat penjelasan untuk mencerahkan pegangan, sebagai cara untuk menjaga keharmonian jamaah dan parti.
Apakah ini petanda yang PAS masih belum memfakihkan diri dengan bentuk peperangan semasa yang dirinya sedang berada? Bahawa peperangan hari ini adalah peperangan maklumat. Kegagalannya menguasai maklumat bererti mereka berperang tanpa senjata, atau masih berkeris ketika peluru berpandu menembak jauh dari ribuan batu.
Utusan Malaysia tetap Utusan Malaysia. Sentiasa ‘istiqamah’ dalam tingkah laku buruk kewartawanan mereka.
Begitu juga dengan sekalian pihak yang sudah secara tradisinya tidak berpihak kepada mereka.
Tetapi bagaimana dengan Harakahdaily? Bagaimana dengan halaman web rasmi PAS? Bagaimana dengan blog peribadi masing-masing? Mengapa tidak digunakan kesemuanya itu untuk menjelaskan apa yang perlu diperjelaskan kepada massa yang ramai ini.
Ketika segala propaganda UMNO dan Barisan Nasional bertebaran di media semenjak Isnin, apakah di tahun 2009 ini PAS masih mengharapkan ahlinya menunggu hujung minggu untuk mendengar maklumat tersahih dari usrah atau roadshow dan ceramah perdana?
Kenyataan yang amat ‘tidak menepati zaman’
AMBILLAH IKTIBAR DARI KISAH MEREKA
Saya masih ingat, kejadian di era Reformasi 1998 dahulu, apabila Setiausaha Agung UMNO datang ke England. Slogannya ialah, rakyat Malaysia di perantauan jangan percaya dengan propaganda media asing yang memberikan liputan bias tentang perkembangan di Malaysia. Media asing diletakkan di hujung telunjuk sebagai pesalah yang memporak perandakan pandangan rakyat Malaysia tentang negaranya sendiri.
Lalu Setiausaha Agung UMNO diminta menjelaskan secara ‘live‘ apakah sebenarnya yang berlaku sehingga mantan Timbalan Perdana Menteri lebam matanya ketika berada di dalam tahanan Polis. Jawapan sambil lewa Setiausaha Agung UMNO (berserta dengan kesungguhan melarang percaya kepada media asing) memanaskan kepala setiap yang hadir sehingga ada yang hampir menumbuk beliau.
Sungguh membuang masa.
Ya, jangan percaya media asing.
Tetapi ruang yang diberikan tidak dimanfaatkan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.
Sama jugalah dengan PAS. Jangan percaya Utusan Malaysia. Jangan percaya dengan Malaysiakini. Jangan percaya dengan ‘bloggers’ (bukankah ini kata-kata BN di ambang kekalahan mereka Mac 2008 yang lalu?), jangan percaya dengan TV3… habis mahu percaya dengan siapa?
Harakahdaily tiada maklumat.
Laman web rasmi PAS tiada maklumat.
Usrah masih bertatih untuk mengecap nilai efisyensi.
Dan dalam masa yang sama Mursyidul Am berkata sesuatu manakala Tuan Presiden berkata sesuatu yang lain.
Alasan manipulasi media sudah tidak laku kerana PAS serta sesiapa sahaja mempunyai 1001 ruang untuk menyatakan apa yang tidak boleh dinyatakannya di media milik UMNO atau Barisan Nasional. Mana mungkin penjelasan dilewat-lewatkan, berulang-ulang kali… tanpa menjangkakan kerugian dan kemalangan menimpa PAS akibat sikap tidak kompeten seperti ini.
Jangan nanti alasan ‘ada benda yang orang tidak boleh tahu’ diulang berkali-
kali sehingga massa pun sudah malas untuk ambil tahu.
Era perang digital, jangan lagi membawa sikap analog yang membinasakan.
Saya menjangkakan laluan yang sukar buat Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, jika perubahan ini gagal dilaksanakan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment