Hadiah Aidilfitri 1429H: Bebaskan Semua Tahanan ISA Sekarang
KENYATAAN MEDIA WANITA JIM
21 September 2008
HADIAH AIDILFITRI 1429H : BEBASKAN SEMUA TAHANAN ISA SEKARANG !
Wanita JIM menerima berita pembebasan YB Teresa Kok dari penahanan di bawah akta zalim dan kuno, ISA dua hari lepas dengan penuh rasa gembira dan lega. Dengan bebasnya dua orang aktivis wanita , wartawan Sin Chew Daily Saudari Tan Hoon Cheng dan YB Teresa sendiri, dari cengkaman ISA tersebut dalam keadaan yang baik, kebimbangan Wanita JIM terhadap aspek kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan fizikal tahanan wanita yang berada di bawah penahanan pihak berkuasa dapat dikurangkan.
Namun, Wanita JIM yakin, penahanan tersebut tetap akan serba sedikit memberi kesan mendalam kepada kedamaian emosi dan ketenteraman perasaan semua yang terbabit. Walau apapun alasan dan sebab yang diutarakan pihak yang menyokong kewajaran ISA dikekalkan dalam negara Malaysia yang aman makmur ini, Wanita JIM melihat akta ISA digunakan semata-mata sebagai senjata untuk menekan dan menakut-nakutkan rakyat jelata agar tidak sekali-kali `engkar' dan menimbulkan `masalah' kepada pihak tertentu dalam kerajaan.
Wanita JIM ingin menarik perhatian semua, masih terdapat ramai lagi tahanan ISA selain dari Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang belum dibebaskan dan terus di`simpan' bertahun-tahun lamanya di Kem Tahanan Kemunting, tanpa mengetahui bilakah tempoh penahanan tersebut akan berakhir. Tiada pendakwaan, tiada prosedur pembuktian, tiada tatacara pembicaraan yang dijalankan untuk tahanan ISA ini, sekalipun mereka ditahan bertahun-tahun lamanya atas `tuduhan berat' pihak pemerintah bahawa mereka adalah ancaman kepada keamanan negara.
Wanita JIM juga mengingatkan semua mengenai penderitaan, kesengsaraan dan kesukaran hidup yang dialami oleh ahli keluarga - ibu bapa, isteri dan anak-anak tahanan ISA tersebut. Tekanan serta kepincangan hidup akibat kesempitan ekonomi, cemuhan masyarakat dan penderitaan emosi mereka tidak langsung diambilkira dan diperdulikan oleh pihak berwajib yang bertanggungjawab memisahkan keluarga malang ini dengan individu-individu yang ditahan di bawah akta ISA. Seolah-olahnya, ISA bukan setakat digunakan untuk `kononnya memberikan pengajaran' kepada individu yang ditahan di bawah akta yang zalim ini, malahan keluarga mereka juga akan dihukum sama.
Saban tahun, menjelang hari perayaan Aidilfitri, akan kedengaran tuntutan, desakan dan rayuan terutamanya dari para isteri dan anak-anak agar tahanan ISA dibebaskan segera untuk kembali ke pangkuan keluarga mereka. Namun, rayuan penuh harapan itu seolah-olah tidak langsung didengar dan diperdulikan, ibarat melukut di tepi gantang.
Usaha gigih yang tidak pernah kenal jemu dan lelah pasukan keluarga tahanan ISA yang diketuai oleh Cikgu Norlaila Othman, yang juga merupakan salah seorang ahli Wanita JIM yang komited, perlu disanjung dan diberikan sokongan sepenuhnya. Kecekalan dan ketabahan Cikgu Norlaila , suami beliau, Saudara Mat Sah Mohd. Satray yang telah menjadi tahanan ISA selama lebih tujuh tahun dan anak remaja mereka Suhaib, menjadi simbol penentangan dari kelompok rakyat yang terpinggir dan teraniaya hak mereka di negara ini.
Pada tahun ini, mengambil sempena suasana kerohanian yang subur di penghujung sepuluh Ramadhan yang terakhir, Wanita JIM menggesa dan meminta pihak berwajib memberikan sepenuh pertimbangan yang wajar untuk membebaskan semua tahanan ISA pulang ke pangkuan keluarga tersayang. Sesungguhnya, pembebasan tersebut adalah hadiah Aidilfitri yang paling bermakna bagi mereka yang sudah bertahun-tahun menunggu. Biarlah kali ini, Aidilfitri disambut bersama keluarga di rumah masing-masing, bukannya dalam suasana duka dan bungkam di ruangan pelawat di KEMTA, yang hanya mengizinkan tempoh lawatan yang begitu terhad dan pendek.
Sekaligus, Wanita JIM mendesak agar akta zalim ISA dihapuskan terus, sementara keamanan dan kedaulatan negara terus dipertahankan melalui sistem perundangan yang benar-benar bebas dan adil serta didokong oleh rakyat jelata yang bangga mencintai negaranya sepenuh hati, prihatin, berjiwa besar tanpa dikongkong perasaan takut, resah gelisah dan bimbang sepanjang masa.
Wanita JIM tidak langsung dapat menerima akta zalim ISA ini untuk terus menghantui masyarakat moden Malaysia yang semakin terpelajar, berdayasaing dan terbuka mindanya. Sebagai golongan wanita fundamental, kontemporari dan profesional, yang juga merupakan isteri, ibu dan ahli masyarakat yang aktif, Wanita JIM tidak mahu sama sekali generasi muda Malaysia membesar dalam suasana negara yang tidak menghormati prinsip asas keadilan dan kesaksamaan, di mana `setiap individu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah'. Wanita JIM penuh yakin dengan kewibawaan pihak perundangan negara yang bijak dan cukup berpengalaman dalam merangka pelbagai akta lain yang lebih efektif bagi mengekalkan keharmonian dan kedaulatan negara ini.
Malaysia tidak perlu mengekalkan akta zalim seperti ISA untuk terus relevan dan membangun sebagai sebuah negara yang disegani di rantau ini.Semoga Allah SWT menyelamatkan Malaysia dari sebarang bencana dan musibah, angkara tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab dan hati-hati yang ketandusan perikemanusiaan...Amin Prof. Madya Dr. Harlina Halizah SirajKetua Wanita JIM Pusat

No comments:
Post a Comment