Saturday, 27 September 2008

Rezeki untuk mereka yang dizalimi

Alhamdulillah, Allah telah panjangkan umur kita untuk terus menikmati kehidupan dan beribadat sehingga ke tarikh akhir Ramadan.

Di penghujung Ramadan ini juga Allah menyediakan pahala dan rahmat yang berlipat ganda dan melimpah ruah.

(anak-anak tahanan ISA dari Tawau gembira menerima duit raya dari En Lutfi. Mereka semuanya tidak bersekolah kerana kesempitan hidup dan sudah tidak bertemu ayah lebih dari 3 tahun. Foto ehsan dari http://lailagmi.blogspot.com/)


Seperti beberapa tahun yang lepas, kami di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA telah memberi peluang dan membuka jalan bagi semua rakan-rakan untuk menyumbang kepada keluarga tahanan ISA. Ini adalah kerana mereka adalah golongan yang dizalimi oleh kerajaan. Dengan tertangkapnya suami dan ketua keluarga maka isteri dan anak-anak telah hilang tempat pergantungan. Kebanyakan isteri-isteri yang ditinggalakan tidak bekerja dan kini terpaksa berusaha sendiri untuk melalui kehidupan dan membesarkan anak-anak sendirian.


(rujuk cerita selanjutnya di http://lailagmi.blogspot.com

Kebanyakan dari mereka juga tidak mendapat apa-apa bantuan dari pihak pemerintah setelah suami mereka ditangkap dan disumbat ke dalam Kem Tahanan Kamunting bertahun-tahun lamanya. Maka kami di PSK-GMI telah mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan satu akaun untuk mengumpul wang sumbangan untuk mereka. Sepanjang Ramadan terutama sekali di akhir Ramadan kami menerima banyak sumbangan. Beberapa hari sebelum Aidil Fitri pula kami akan agihkan wang yang terkumpul dan dimasukkan ke dalam akaun isteri-isteri tahanan ISA. Sebahagian wang lagi kami akan simpan dan akan salurkan kepada isteri sepanjang tahun apabila mereka memerlukan.


(saya dan Norlaila dijemput menyaksikan penyampaian wang sumbangan yang berjaya dikumpul oleh Ustaz Suhaimi melalui ceramahnya yang khusus menceritakan kisah kezaliman akta ISA ke atas keluarga terutama sekali anak-anak tahanan ISA. Wang sumbangan sebanyak RM5,000.00 diserahkan kepada En Lutfi di pejabat Harakah-25-09-08)

Alhamdulillah, dari rahmat yang Allah turunkan di sebalik pelbagai dugaan dalam perjuangan membebaskan Malaysia dari ISA, Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA menerima sambutan yang amat baik dari segenap masyarakat untuk menyumbang. PSK-GMI juga mendapat kerjasama yang amat baik dari pihak Harakah untuk mengumpul sumbangan. Sebahagian sumbangan telah diserahkan sendiri oleh pihak Harakah ketika mereka melawat keluarga di Tawau pada hari 23 dan 24 September lepas. Turut sama dalam rombongan tersebut ialah En Lutfi Ketua Pengarang Harakah, wartawan Harakah Anis dan Wan Nordin dan juga wakil dari GMI, Norlaila Othman yang juga isteri tahanan ISA.


(AJK PSK-GMI bergambar dengan wakil-wakil dari Pemuda PAS Pahang yang datang dari jauh untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga tahanan ISA)

Kepada semua yang telah sudi menyumbang kepada Tabung PSK-GMI kami mengucapkan ucapan Jutaan Terima Kasih. Sudah pasti ganjaran dari Allah menanti anda semua dengan berlipat kali ganda. Semoga Allah menerima segala amalan kita di sepanjang Ramadan ini sebagai amalan yang terbaik sepanjang kehidupan kita di dunia ini.

No comments: