Lawatan ke rumah keluarga Tahanan ISA- Suhaimi Mokhtar-Tahanan 8 Tahun ISA
Pada hari Isnin 8hb September 2008, kami di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA telah menziarahi keluarga seorang tahanan ISA iaitu Suhaimi Mokhtar. Suhaimi ditahan dibawah akta zalim ISA di Kem Tahanan Kamunting masuk tahun yang ketujuh. Kami menziarahi keluarga Suhaimi di Kampung Pandan. Isteri Suhaimi Puan Jurainah sedang bekerja dan beliau tinggal di sebuah flat PPRT di Jalan Jelatek.
Lawatan kami adalah atas pelawaan Exco Kebajikan iaitu YB Rodziah dan pembantunya YB Gan, ADUN Rawang. Namun YB Rodziah tidak dapat hadir bersama kerana ada urusan lain. Turut bersama kami ialah YB Zuraidah, Ahli Parlimen Ampang.
Lawatan tersebut juga diadakan di atas permintaan YAB Menteri Besar Selangor sendiri, setelah YAB MB menerima surat yang dihantar oleh Ayah Suhaimi iaitu Pakcik Mokhtar.
Bapa tahanan ISA Suhaimi Mokhtar telah menulis surat pada MB Selangor, YAB Tan Sri Khalid memohon supaya membantu membebaskan anaknya yang masih ditahan di Kem Kamunting.
Semasa lawatan tersebut kami mendengar sendiri cerita dari Pakcik Mokhtar yang berusaha melakukan berbagai perkara sepanjang anaknya ditahan lebih-lebih lagi semenjak penahanan anaknya disambung ke 8 tahun. Menurut Pakcik Mokhtar, beliau telahpun menghantar surat kepada Perdana Menteri, beliau juga telah pergi sendiri ke pejabat Syed Hamid Albar Menteri dalam Negeri di Putrajaya. Namun usaha untuk bertemu menteri tersebut gagal. Kakitangan di pejabat MDN memberi alamat rumah Syed Hamid Albar kepada pakcik Mokhtar.
Pakcik Mokhtar tidak berputus asa, beliau tetap berusaha dengan pergi sendiri ke rumah Syed Hamid Albar untuk menyerahkan surat memohon pembebasan anaknya. Surat hanya dapat disampaikan kepada anak Menteri tersebut. Namun walau sampai ke tahap itu usaha seorang ayah, surat-surat yang dihantar tidak mendapat sedikit pun respon.
Pakcik Mokhtar masih kuat dan bekerja sebagai pemandu teksi, tetapi isteri beliau mengidap penyakit kencing manis dan perlu mencuci darah setiap minggu. Mereka berdua tidak pernah mempercayai segala tuduhan yang dilemparkan ke atas anak mereka dan juga kepada tahanan lain yang senasib dengan Suhaimi. Mereka juga marah dengan segala kezaliman yang menimpa anak mereka selama ditahan. Mereka juga memahami sikap SB yang zalim dan sering mengganggu kehidupan peribadi tahanan dan keluarga mereka.
Suhaimi sebelum ini pernah dibawa ke Bukit Aman bersama-sama beberapa orang tahanan ISA yang lain untuk dibebaskan. Prosedur untuk mereka dibebaskan ketika itu termasuklah untuk membuat pengakuan yang akan dirakamkan bahawa ISA itu tidak zalim. Suhaimi yang berhati cekal dan mempunyai sifat melawan, tetap mengatakan bahawa ISA adalah ZALIM!. Maka beliau tidak jadi dibebaskan dan dibawa semula dan disumbatkan ke KEMTA untuk bertahun-tahun lagi hingga entah bila.
Ibu Suhaimi nampak begitu cekal dan tabah, cuba sekuat mungkin menahan airmatanya dari tumpah di hadapan kami ketika menceritakan perihal anaknya, perihal lawatan keluarga yang sungguh tidak berperikemanusiaan iaitu tidak dapat duduk bersama dan bersentuhan. Tidak dapat makan makanan yang dibawa hatta sebiji kek yang dibawa khas untuk menyambut hari ulangtahun cucunya. Begitulah kejamnya ISA. Makcik juga turut menyatakan simpatinya kepada Cikgu Norlaila yang ada bersama, kerana beliau gigih berjuang membebaskan suaminya dan tahanan yang lain bersama GMI, namun hingga kini suaminya juga belum lagi dilepaskan. Alasan terkini yang diberikan kepada Mat Sah suaminya ketika ada tahanan yang lain yang akan dibebaskan ialah "Kuota untuk tahun ini sudah penuh".....tidak kah itu satu alasan yang paling zalim dan tidak masuk akal. Mat Sah sendiri khabarnya tergelak mendengar alasan yang amat bodoh itu......Hakikatnya itulah dia ISA.....IKUT SUKA AKU....tak tahulah ikut suka siapa sebenarnya?????......
Di akhir lawatan YB Gan bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga Suhaimi Mokhtar.
Kami di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA merasa amat terharu dan berterima kasih di atas keprihatinan YAB Menteri Besar dan kerajaan Negeri Selangor yang telah banyak membantu termasuk menyediakan kenderaan iaitu sebuah bas untuk membawa keluarga tahanan ISA ke KEMTA sebanyak 2 kali sebulan. Kerajaan Negeri juga dalam proses menentukan jumlah dan bentuk sumbangan yang akan diberikan kepada setiap keluarga tahanan ISA di dalam negeri Selangor termasuk bantuan pengajian kepada anak-anak Tahanan ISA. Alhamdulillah, walaupun baru mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri selama 6 bulan, kekayaan dan harta negeri dapat disalurkan kepada mereka yang dizalimi dan memerlukan bantuan.
2 comments:
gilee dan tak berakal tul depa!!
apa lagi...ya! dunia ini cobaan bg org2 beriman dan syurga bg yg engkar!!
Mudah2n yg tak bersalah akan dpt pembelaan Allah swt & ditambah iman agar teguh bersabar. Hanya Allah yg Maha Tahu kebaikan & kesalahan seseorang, kembalilah kita semua kpd Quran & Sunnah.
Post a Comment