Friday, 12 December 2008

Pertolongan di Ground Zero-Zon Merah 11-12-08

Pada hari Rabu 10hb Disember, saya sekali lagi telah ke Kawasan Bukit Antarabangsa. Kali ini, suami dan dua orang anak lelaki turut serta. Namun pada hari tersebut keadaan adalah lebih tenang dan terkawal. Maka tidak ada kerja spesific yang perlu dilakukan. Memandangkan suami dan anak-anak baru pertama kali ke sana, maka saya telah membawa mereka melalui jalan-jalan yang telah saya lalui pada hari sebelumnya menembusi kawasan zon merah di Taman Bukit Mewah...(malangnya gambar-gambar yang diambil telah hilang ditelan virus)

gambar runtuhan rumah banglo di kedudukan yang paling hujung di tebing bukit di mana tersergam Condo Impian Selatan yang juga telah menjadi kawasan zone merah dan pelu dikosongkan.

menyusuri sungai yang terbentuk di sebelah runtuhan banglo
laluan alternatif keluar masuk dibina di kompund sebuah banglo yang terselamat..lihat pagarnya yang telah dibuka menjadi jalan.

beratur membantu memunggah barangan dari sebuah banglo milik Tan Sri Hishamuddin Tan Sri Ibrahim

Setiba di kawasan banglo ranap bertembung dengan team DERU JIM yang sedang berkenalan dan melihat-lihat sebuah banglo ranap milik Tan Sri Hishamuddin.Team DERU mungkin telah memperkenalkan diri dan mempelawa diri untuk membantu. Kami dibawa masuk melihat rumahnya yang ranap. Temujanji dibuat untuk membantunya memunggah barangan pada hari Khamis 11 Disember.

pekerja sedang betungkus lumus memasangkan kabel eletrik di ground zero

kereta yang terjunam masuk ke dalam rumah dan tanah

Khamis 11 Disember 2008. Selepas menghantar Asma' dan Asiah ke rumah kawan di Taman Permata, saya dan Ammar menuju ke pejabat suami di Jalan Tun Razak. Perjalanan kami diteruskan ke Bukit Antarabangsa, singgah sebentar di stesen ESSO mengalas perut, solat zohor di Surau bersebelahan tempat kejadian. Selepas solat bertembung dengan ramai sekali ahli-ahli JIM yang datang membantu, termasuk juga ahli UNIT AMAL, dan Ahli DUN Parlimen Ampang.


Kami masuk ke Jalan Bukit Mewah 2, di tempat kejadian. Saya menemani Kak Faridah dan Kak Azian, bersama-sama mengagihkan air dan sedikit makanan pada pekerja dan penduduk yang melalui jalan tersebut untuk naik ke taman-taman di bahagian atas Bukit Antarabangsa.

membawa turun barangan dari kawasan rumah yang telah membukit..abah asiah di bawah

Kemudiannya tenaga kerja yang ada membantu keluarga Tan Sri Hishamuddin untuk mengeluarkan sebahagian barangan rumahnya untuk dipindahkan. Lori MPAJ datang dengan kadar yang segera sebaik dimaklumkan tuan rumah memerlukan sebuah trak. Sebaik penuh satu trak tuan rumah memohon sebuah lagi trak untuk datang. Trak yang lebih besar telah berjaya dibawa masuk berdekatan rumah yang ranap. Begitulah keadaannya apabila kita berbuat baik dan memohon dengan cara yang baik, maka InsyaAllah bantuan dapat disampaikan dengan baik dan cepat.

Keluarga sebuah banglo di sebelahnya pula menolak dengan baik pelawaan kami untuk membantu mereka. Mereka nampaknya juga sedang sibuk membalut setiap barangan berharga yang terdapat di dalam banglo tersebut. Rumah yang tersergam indah, sebuah kolam renang di sebelahnya dengan 3 buah kenderaan terjunam ke dalam tanah.

Keadaan di kawasan tersebut mungkin masih tidak stabil, menurut tuan rumah setiap hari dia datang dia dapat lihat dan rasakan kedudukan rumahnya berbeza, bermakna ada pergerakan tanah dan rumah. Air dilihat mengalir di bawah dan di celahan banglo yang ranap.

Namun kami semua sentiasa berdo'a agar Allah lindungi kami dari sebarang bencana. Kami membantu mereka yang memerlukan dan tidak sombong dan marah-marah. Seorang pemilik banglo di sebelahnya juga memohon pertolongan, maka janji sudah dibuat untuk membantunya pada hari ini sebaik selesai solat Jumaat.

bergerak untuk pulang setelah selesai tugas pada hari Khamis melalui jalan yang becak akibat hujan lebat sebelum waktu asar.

Alhamdulillah, kerja membantu semalam berakhir dengan sempurna tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Kami bergerak keluar dari kawasan bencana sekitar jam 5 petang dan masing-masing menjamu selera dengan hidangan maggi yang disediakan oleh MAGGI. Selepas menunaikan solat Asar, masing-masing bergerak untuk pulang. Dalam perjalanan kami melalui pula satu gerai KEMAS yang menghidangkan soto ayam panas-panas...apa lagi tak lepaskan peluang pekena semangkuk soto panas dan secawan teh panas. Alhamdulillah.

No comments: