"Ummi, ampunkan semua dosa-dosa Asiah, ummi"
(Saya pada mulanya berkongsi cerita ini hanya di dalam ruangan 'notes' di FB, namun bila ada sahabat yang merujuk pada blog saifulislam mengenai isu ini maka saya terasa ingin berkongsi sama, agar anak-anak yang lain tidak menerima akibat dari perkara yang serupa. Saya terpksa mengharungi hari-hari yang mendatang sambil melihat perubahan sikap kepada diri Asiah. Menurut doktor yang saya temui malam tadi memang ini tanda-tanda 'post traumatic' dan doktor tak dapat beri apa-apa ubat untuk menenangkan berbanding sekiranya ia berlaku kepada orang dewasa, ia mungkin akan mengambil masa sehingga seminggu atau lebih untuk menjadi normal)
-------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan suara yang teresak-esak dan tersedu-sedu Asiah bercakap kepada saya melalui telefon "Ummi, ummi, ummi ampunkan tak semua dosa-dosa Asiah, ummi ampunkan tak". Saya yang tidak berapa jelas dengan sebutannya kerana diiringi tangisan memohon Asiah mengulang beberapa kali. "Asiah, ummi tak dengarlah, Asiah cakap apa tu?"
Dengan esakan yang lebih jelas kedengaran Asiah mengulangi lagi, "Ummi, ummi ampunkan tak semua dosa-dosa Asiah, ummi ampunkan tak Asiah".
"Ya Allah, Asiah, kenapa ni,Asiah kecik lagi la, Asiah tak ada dosa pun, kalau Asiah meninggal Asiah masuk syurga, ummi ampunkan semua dosa-dosa Asiah, kenapa ni, kenapa Asiah cakap macam ni?" tanya saya dengan fikiran saya sepantas kilat memikirkan tentang apa sebenarnya yang 'mengganggu' Asiah anak bongsu saya yang baru berusia 8 tahun, di darjah dua.
Sekali lagi dalam sedu Asiah menjawab "Kawan Asiah cerita pasal hari Kiamat". Barulah saya tahu sedikit apa puncanya, terpaksa memujuknya kerana saya tidak dapat pergi menemuinya di sekolah kerana sudah dalam perjalanan menuju ke Petaling Jaya.
Sepanjang perjalanan, hati saya memang runsing kerana esakkan Asiah amat ketara dan cara dia bertanya untuk memastikan bahawa saya, umminya, mengampunkan segala dosa-dosanya amat suci dan tulus sekali, walhal dia baru 8 tahun bernafas di bumi ini...dia sudah takutkan akan ketibaan hari yang satu, hari yang nantinya pasti akan datang...hari kemusnahan, segalanya akan musnah...hari yang di mana pintu taubat sudah tertutup, hari penentuan, semua makhluk akan musnah dan menanti hari perjumpaan dengan penciptaNya...hari di mana Keadilan akan ditegakkan, siapa yang berdosa pasti akan terseksa...ya memang menakutkan amat menakutkan. Entahla saya tidak dapat memikirkan jawapan kenapa Asiah begitu terasa..begitu terkesan di hatinya.
Dalam keadaan sibuk-sibuk berada di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menghadiri perbicaraan kes tangkapan demo ulangtahun bersih 10-11 dan NO To ISA, saya lupa seketika tentang Asiah. Bila Mahkamah menangguhkan perbicaraan sekitar jam 12 tengahari saya melangkah pulang dengan menaiki LRT. Belum tentu arah destinasi samada terus ke Terminal Putra atau singgah di mana-mana sebelum pulang ke rumah. Dengan menggunakan kad Touch n Go, saya boleh membuat keputusan untuk singgah di mana-mana pada saat-saat terakhir.
Akhirnya bila tiba ke stesen LRT KLCC dengan semerbak bau roti boy, saya membuat keputusan untuk melangkahkan kaki keluar dan mencari tempat untuk mengalas perut dan buat sedikit terapi minda dengan 'window shopping' dan terapi kaki dengan berjalan. Sempat berjalan sebentar dan mengisi perut sebelum kemudiannya menerima panggilan dari sekolah Asiah.
"Ini Puan Nashita ya, ibu Asiah, Asiah pening, badan dia panas sedikit, dia ada di bilik guru, nanti Puan boleh datang ambil dia ya"
Oooo..saya pun menceritakan situasi pada pagi tadi apa yang berlaku pada Asiah. Saya yakin dia pening dan demam lantaran benar-benar takut dan trauma dengan cerita kiamat tersebut. Membuatkan saya tertanya-tanya apakah cerita yang sebenarnya.
Dalam perjalanan ke sekolah terima satu lagi panggilan yang serupa dari pejabat memaklumkan Asiah menunggu saya di pejabat sekolah. Terus saya keluar dari KLCC dan menjemput Asiah di sekolah, dia berada di pejabat. Asiah kelihatan amat sedih dan muram. Asiah memberitahu saya dia menangis sejak dari pagi tadi lagi. Saya maklumkan pada kerani di pejabat apa yang berlaku. Mereka berjanji akan mencari anak yang menceritakan tentang hal itu. Namun ada dua orang lagi kawan Asiah yang turut sama mendengar, tetapi tidak pulak beremosi seperti Asiah.
Saya bertanya kepada Asiah apa yang diceritakan oleh kawannya. "Kawan Asiah kata, kalau setitik air terkena pada matahari, tak sampai satu minit akan jadi kiamat."
Saya tidak mahu lagi bertanyakan kepadanya kerana takut timbul semula traumanya. Badannya sedikit panas. Saya maklumkan pada Asiah yang saya akan membawanya bersama menjemput Abangnya yang sulong, Anas di asrama di Jeram, Kuala Selangor. Nampak dia gembira. Alhamdulillah, tapi dia sudah tidak seperti biasa, dia lemah dan baring sahaja.
Hari ini, dia lebih trauma....dia tidak boleh mendengar bunyi bising. Dia akan berlari mencari saya dengan muka yang ketakutan seperti 'orang nampak hantu'. Saya bingung. Saya terpaksa pangkunya sepanjang masa. Kebetulan pula saya telah memanggil orang untuk memasang tangki air yang baru dan membaiki beberapa kerosakan kecil di rumah, apa lagi tak senang Asiah dibuatnya, dia menangis sepanjang masa. Saya bingung lagi apatah lagi dengan ketiadaan abahnya. Saya bawa dia ke dalam bilik, dia ketakutan bila lihat langsir di tiup angin, bingkas dia bangun dan menutupnya, kami duduk di dalam gelap.
Teringat saya untuk menghubungi kawan saya dan mohon bantuan, dia menasihatkan saya untuk membaca Al-Fatihah 7 X dan meniup di ubun-ubun Asiah. Saya memanggil Anas, anak saya yang sulong yang sudah bergelar Al-Hafiz. "Anas tolong ummi pangku Asiah dan bacakan ayat-ayat Al Quran pada Asiah ya...ummi dah penat la"...."Ok la ummi, tapi Anas baca perlahan-lahan dalam hati saja ummi ya..."
Saya biarkan Asiah di pangkuan abangnya, abangnya mula membaca Ayat-ayat suci Al Quran kepada adik bongsunya.
Dapatlah saya menghabiskan kerja-kerja rumah yang terbengkalai...akhirnya di hampir waktu zuhur Asiah kelihatan lebih normal dan tenang...saya pula seolah kehilangan seluruh tenaga hingga terpaksa berehat lama. Syukur dengan kepulangan Anas dari asrama dengan jauh lebih awal dari sepatutnya.
Alhamdulillah syukur...moga tidak ada apa-apa yang pelik berlaku selepas ini.....
2 comments:
semoga asiah jadi solehah... berbakti pada agama dan ibubapa. lagi takut kalau anak2 yg tak takut pada Allah. insyaalah asiah akan pulih seperti sediakala.
sham..
masih trauma bila tengok langit n angin..tapi bawa jalan ok je..happy cuma sekali sekala sebut takut takut...tu pun perlahan2 saja...banyakla peluang dia ikut ummi dia sebb tak pi sekolah..
Post a Comment