Datuk Seri Ir Mohammad Nizar bersama OKT Masjid Ubudiyyah
Inilah yang dinamakan tidak ada rezeki, redha sajalah walau dalam hati tetap ada rasa terkilan. Kita merancang selebihnya Allah menentukan segalanya.
Perjumpaan Hari Raya OKT Kuala Kangsar telah diadakan di rumah Pakcik Meor setelah selesai kes pada tengahari 21hb Oktober, di hari kami ditakdirkan tidak dapat hadir ke Mahkamah.
Bukannya apa sangat pun, cuma sudah beberapa kali kami semua dalam kumpulan OKT (orang kena tangkap) di Masjid Ubudiyyah 6 Februari 2009 mengharapkan pertemuan dan perjumpaan secara khusus dengan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, tetapi ada saja halangannya.
Saya masih ingat lagi sebaik kesemua mereka yang ditangkap dibebaskan setelah berada di lokap Polis Balai Polis Kuala Kangsar selama 4 hari, ada yang mengatakan bahawa DS Ir Nizar menjemput mereka semua untuk makan dan bertemu di rumahnya, namun itu hanyalah khabar angin saja.

Namun sudah tentu ada banyak halangan bagi seseorang yang sesibuk beliau. Kami tetap bersyukur kerana ada sahaja pimpinan dari Pakatan Rakyat Perak yang sering datang memberikan sokongan.

Pakcik Meor juga sering sahaja dengan seikhlas hati menjemput kami yang tinggal jauh datang dan bermalam di rumahnya sekiranya kes berjalan selama 3 hari atau 5 hari lamanya. Tetapi kami sebolehnya tidak mahu menyusahkan Pakcik Meor dan keluarganya.
Namun kami tetap lunaskan janji kami pada Pakcik Meor yang tidak pernah kenal jemu mengajak kami bermalam dan tinggal di rumahnya. Katanya kami tidak perlu mengeluarkan belanja untuk tinggal di rumah rehat dan makan di luar. Maka pada bulan Ramadan yang lepas kami menumpang tinggal di rumah Pakcik Meor, kebetulan juga kami membawa kesemua 4 orang anak kami bersama-sama. Seronok dapat melunaskan janji ini apatah lagi di bulan Ramadan yang penuh berkah itu.
Moga Allah melimpah kurnia pahala yang berganda-ganda kepada Pakcik Meor sekeluarga. Dapat lagi kami menumpang teduh....

Turut bersama di dalam gambar ini ialah Tuan Haji Aminuddin, peguambela untuk kes ini (duduk di sebelah DS Nizar) yang sering memberikan kata-kata semangat dan dorongan kepada semua kami yang terlibat dalam kes ini setiap kali kes ditangguhkan. Mereka semua bekerja secara ikhlas membantu semua yang tertuduh sejak dari hari pertama kes ini dibawa ke Mahkamah malah sejak hari mereka semua ditangkap.
Membelakangkan kamera ialah Augustine Anthony seorang lagi peguambela dalam kes ini yang sering bangun menyoal balas kesemua saksi yang dibawa oleh pihak pendakwaan. Tidak berbangkit soal agama dan kaum dalam kes ini. Demi keadilan.

Sudah tentu kita tetap akan meneruskan perjuangan ini tanpa keluh kesah walau apa jua halangan dan cabaran yang datang menimpa. Moga Allah terus berikan kekuatan dan kemudahan untuk kita semua laluinya, kerana kes ini dijalankan dengan sangat 'strict'nya yang memberi tekanan kepada semua.
No comments:
Post a Comment