Saturday, 25 September 2010

Zunar: Dibawa ke 7 buah Balai!!!

Selesai Majlis Pelancaran Cartoon-O-Phobia di Selangor Chinese Assembly Hall, MC membuat pengumuman bahawa Zunar telah dibawa ke IPD Serdang dan semua boleh sama-sama pergi memberikan sokongan dan solidariti seperti biasa setiap kali ada pejuang rakyat yang ditangkap. Mendengarkan tempatnya Serdang dari awal lagi sudah tahu betapa jauhnya beliau telah dibawa dan dihantar.

Sebelum itu semua juga sudah dimaklumkan bahawa Zunar ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Brickfields dan akan dibawa ke IPD Petaling Jaya. Sebaik mendengar berita ini kami sudah bersedia untuk ke sana kerana ianya tidak sukar dan tidak jauh, malahan sudah biasa apabila terjadi peristiwa tangkapan 1 Ogos 2010.

Namun kemudiannya Fadiah, peguam, membuat pengumuman bahawa Zunar sedang dibawa ke IPD Sepang pula. Wah, bertambah jauh lagi hingga ke hujung negeri...sudah teruk sekali kalau begini sikap polis untuk menjauhkan Zunar dari para penyokong.

Kami jadi tidak keruan samada mahu pergi atau tidak kerana kedudukan yang jauh. Maka kami akhiri malam kami dengan berlegar-legar sekitar Kuala Lumpur sambil memikirkan di mana hendak makan lewat malam. Nasihat yang diterima oleh Fadiah melalui Lateefa Koya yang mengekori Zunar ialah jangan pergi dahulu kerana tiada kepastian di mana Zunar akan diletakkan selagi mereka tidak sampai ke destinasi yang sebenarnya.

Akhirnya kami berhenti di Keramat dan makan lewat malam Nasi Lemak Ayam yang sedap sebelum beredar untuk pulang ke rumah. Kemudia terima pesanan ringkas dari Alin isteri Zunar.

"Salam kak, alin ni, Zunar baru call dari phone Lat. Diorang dekat IPD Serdang". Belum sempat selesai menjawap pesanan tersebut tiba-tiba telefon berdering dari Zunar. Segera jawab dan Zunar memaklumkan bahawa sekiranya kami ingin ke Balai Sepang, dia mohon kami bawa bersama Alin isterinya kerana Alin keseorangan dan perlu membawa keperluan ubatan Zunar.

Tidak ada masalah untuk kami berpatah balik menjemput beliau dan meneruskan perjalanan ke Sepang. Zunar memesan beberapa barangan penting terutamanya ubatan dan multivitamin beliau.


Beberapa kali juga Zunar menelefon memesan barangan peribadi yang penting-penting terutama kali selimut dan bantal kerana beliau memaklumkan yang beliau sudah mula kesejukan. Saya dapat memahami kerana pernah juga dua kali bermalam di lokap. Alin dimaklumkan tentang barangan yang perlu dibawa dan kami bertolak ke Sepang dengan segera.


dari blog tukar tiub

Dalam perjalanan terima pula panggilan telefon dari Lateefa dengan suara bengang dan marah-marahnya...apa tidaknya, dari Balai Polis Sepang, secara tiba-tiba pula Zunar dipindahkan ke Balai Polis KLIA !!!. Siapa tak marah dan bengang dengan tindakan yang lansung tiada alasan apatah lagi alasan yang masuk akal.

Kami tiba di Balai Polis KLIA sekitar jam 12.45 tengahmalam. Kelam pekat..hanya lampu dari Balai yang menerangi. Tidak kelihatan Lateefa dan Eric di sana, rupanya mereka berdua baru keluar untuk mencari makan dan sesat-sesat di tempat yang mereka tidak biasa. Saya dan Alin serta Asiah masuk ke dalam balai dan memberikan salam kepada 3 orang pegawai yang berada di kerusi kerja masing-masing.

"Boleh tahu Zunar kartunis ada tak di sini?" tanya kami sebaik mungkin.

"Siapa, Zunar, siapa tu, pukul berapa dia ditangkap, di mana dia ditangkap" dijawab oleh hampir ke 3 orang mereka dan nada dan raut wajah yang seolah lansung tidak tahu.

"La...Zunar, dia ditangkap petang tadi dan peguam dah maklumkan yang dia dah dibawa kesini"...sukar nak percaya mereka tidak tahu. Macamlah ada 1000 orang yang ditangkap satu hari di balai tersebut.
"Siapa nama sebenar dia?" wah dah tahu pulak Zunar bukan nama sebenar Zunar.

"Zulkifli" jawab Alin isteri Zunar.
"Nanti kami semak" ...kami dalam hati sedikit pun tak percaya mereka tidak tahu.

Sebentar kemudian keluar seorang pegawai yang lainnya dari arah pintu menghala ke Lokap dan bertanyakan di mana ubatan yang diminta oleh Zunar. Kami nyatakan ada dan hanya akan serahkan bila peguam kami tiba semula ke balai.

Sebaik tiba Lateefa ke dalam balai, semua barang yang dibawa seperti dipinta oleh Zunar dibawa masuk ke dalam balai untuk diserahkan. Bantal, selimut tebal, ubat, vitamin, air minuman dan sedikit roti.

Semuanya tidak diluluskan kecuali ubatan sahaja. Puas juga Lateefa berkeras dan mendesak memandangkan Zunar mempunyai kesakitan 'Slip Disc' dan merbahaya sekiranya tidak terjaga dengan betul.

Dengan nada keras juga Lateefa mendesak polis tersebut kerana mereka lansung tidak mahu layan dan tidak mahu pakai budi bicara.

Akhirnya kami tinggalkan balai dan beredar keluar berbincang mengenai tindakan seterusnya dan apa yang telah dilalui oleh Zunar, Lateefa dan Eric yang telah berpusing-pusing ke merata tempat demi mengkuti kerenah polis yang mahu membawa Zunar entah ke mana.

Kami memang terkejut dan terlopong mendengarkan bahawa Zunar telah dibawa berpusing-pusing ke 7 buah balai polis semuanya!!! seperti di lakaran di atas.

Sekiranya kami penat dengan perjalanan yang sedikit itu entah berapa kali ganda penatnya Zunar, Lateefa dan Eric seharian dan semalaman apatah lagi hingga terpaksa bertekak dengan polis-polis yang tidak tahu apa-apa.

Akhirnya kami berbincang bersama Alin di manakah yang lebih baik untuk dia pulang di waktu begini, dan membuat keputusan adalah lebih baik beliau pulang ke rumah ibu bapanya kerana lebih selamat dari dia tinggal bersendirian. Tiba di rumah ibu bapa Alin sekitar jam 2.30 dan kami pula meneruskan perjalanan pulang ke rumah dengan selamatnya juga. Alhamdulillah.

No comments: