Monday, 27 September 2010

Pejuang REFORMASI: Do'akan yang terbaik buat mereka

Hari ini ramai juga yang sudah sedia maklum dan dimaklumkan tentang keputusan kes UKM4 yang bakal disebut di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur esok 28hb September 2010. Kes 4 orang pelajar ini dibicarakan kerana mereka dituduh menyokong Parti Politik semasa Pilihanraya Kecil Hulu Selangor April lepas.

InsyaAllah dan Alhamdulillah sehingga ke tahap ini banyak kes yang melibatkan perhimpunan aman ahli Pakatan Rakyat dalam menentang kezaliman pemerintah keputusannya memihak kepada semua yang tertangkap dan tertuduh. Pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan pertuduhan mereka.

Paling terkini ialah kes yang membabitkan 5 pelajar Universiti Malaya juga didapati mereka tidak bersalah kerana kegagalam pihak pendakwaan membuktikan sebaliknya.

Syukur kerana kes ini tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan maka mereka tidak terus menerus menanggung bebab perlu berulang alik ke mahkamah, gagal menghadiri kuliah atau dibuang universiti.

Hari ini pada masa yang sama ketika saya juga turut menyebarkan maklumat berkenaan kes UKM4 saya juga telah menerima panggilan telefon dari Puan Aliza Jaffar isteri YB Saari Sungib ADUN Hulu Kelang yang sedang berada di Taiping. Beliau sedang menghadiri perbicaraan kes tangkapan perhimpunan aman di hadapan Kem Tahanan Kamunting yang diadakan pada 20 hb Julai 2001...berapa tahun sudah berlalu???

10 tahun lamanya....lama bukan, malah terlalu lama. Dalam tempoh tersebut 7 orang dari sejumlah 37 orang yang ditangkap pada hari kejadian telahpun meninggal dunia, dan kes ini masih tidak dapat diselesaikan. Ianya mengambil masa yang terlalu lama. Seingat saya kemungkinan dalam tempuh 10 tahun ini, mungkin perbicaraan dijalankan sebanyak 40 kali sahaja dengan bilangan kes terpaksa ditangguhkan oleh berbagai alasan termasuk pita video yang sudah 'out of date' kerana menggunakan video tape yang besar berbanding zaman teknologi cd kecil kini dan memory card.

Bukan sahaja teknologi yang sudah silih berganti dan pergi tak kembalinya 7 orang OKT, malah ada yang sudah bertukar parti atau lansung tidak endah untuk muncul diri ke mahkamah. Di samping itu Majistretnya juga silih berganti.

Namun peguamnya tetap seorang sejak dari awal....walaupun pada awalnya, seperti dalam mana jua kes tangkapan perhimpunan aman, di hari pertama pasti ramai peguam yang menonjolkan diri untuk membela, namun tidak ramai yang akhirnya akan setia tinggal membela dan membantu.

Peguam dalam kes ini ialah Saudara Saiful Izham Ramli. Beliaulah seorang sahaja yang kekal membela kesemua yang tertuduh sehingga tarikh hari ini. Ianya bukanlah suatu perkara yang mudah dan memerlukan kekuatan semangat yang tinggi untuk meneruskan usaha ini yang tidak mendapat ganjaran di dunia dan tidak dipandang dan diambil endah oleh ramai orang atau banyak pihak. Kiranya pada hari beliau ditimpa sakit sudah tentu kes ini tidak dapat dijalankan kerana tiada pengganti atau pembantunya.

Tengahari tadi saya menerima panggilan telefon dari Puan Aliza memaklumkan tentang kedudukan kes ini. Kami di Gerakan Mansuhkan ISA mengambil tahu mengenai perjalanan kes ini dan membantu sekadar yang terdaya kerana kes ini berkaitan dengan perhimpunan aman membantah penahanan 10 orang tahanan ISA di tahun-tahun kegemilangan REFORMASI.

Puan Aliza memaklumkan tentang keputusan yang telah diambil oleh mereka agar ada sekumpulan 10 orang yang akan 'berkorban' untuk mengaku bersalah bagi menyelamatkan dan memudahkan OKT yang lain dan semua yang terlibat. Pengakuan bersalah ini bukanlah suatu kekalahan atau mengaku kalah...ianya adalah sebaliknya...untuk menghentikan penderitaan yang perlu mereka semua tanggung walaupun penderitaan adalah sunnah perjuangan.

Kami berbincang tentang kemungkinan jumlah denda yang perlu dibayar oleh mereka yang ianya tidak boleh melebihi dari wang ikat jamin yang telah dibayar melalui penjamin masing-masing iaitu RM1000 seorang.

Sebolehnya kami tidak mahu menyusahkan mereka lagi dengan perlu membayar wang denda yang dikenakan. Kami berbincang dan bersetuju untuk mencari dana bagi menyediakan wang denda yang bakal dikenakan dan jika wang yang terkumpul ada yang berlebihan akan diberikan kepada mereka sebagai saguhati bagi pengorbanan yang telah mereka lakukan dan lalui selama 10 tahun yang lepas.

Esok permohonan untuk pengakuan bersalah akan dibuat oleh Peguam dan peguam akan merayu seboleh mungkin bayaran denda yang paling minima.

Semoga segalanya akan selesai dengan segera dan perbicaraan kes yang begitu lama ini dapat diletakkan satu titik noktah dengan segera......

Syukur...walaupun kes ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya sebelum ini...hari ini saya mendapat beberapa panggilan telefon yang bertanyakan tentang perkembangan kes ini dek kerana keputusan mereka untuk mengaku bersalah.

Do'akan yang terbaik buat mereka.....mereka adalah golongan rakyat biasa, bukan berada, bukan juga yang memegang mana-mana jawatan, mereka turun atas kesedaran diri tentang kezaliman ISA. 37 orang, 20 Julai 2001, 7 orang meninggal dunia, 22 orang terus istiqamah turun naik, keluar masuk mahkamah, 7 orang hilang entah ke mana dan seorang menderita sakit berkaitan masalah jiwa....

No comments: