Friday 25 April 2008

Ibu dan Ayah.....

Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani Kedah. Dulunya ia dikenali hanya dengan nama Sekolah Menengah Sains Kedah. Saya pernah menjadi penuntut di sekolah tersebut untuk 2 tahun sahaja. Sebelum itu saya bersekolah di Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.
Hari ini saya berada di Pekan Sungai Petani. Melalui di hadapan sekolah tersebut membuatkan saya terkenang kembali zaman-zaman persekolahan saya yang telah lama berlalu, hampir 23 tahun yang lalu. Bukanlah banyak sangat kenangan indah atau duka lara di sekolah tersebut, tetapi banyak peristiwa penting yang menjadi titik bermulanya siapa saya sekarang ini.
Saya masih ingat semasa di tingkatan 4 saya pernah 'dihamun' oleh guru matematik saya, seorang berbangsa China yang tidak berapa fasih berbahasa Melayu. Semasa mendapat keputusan ujian penggal untuk mata Pelajaran Matematik Moden. Sambil memanggil nama saya, dia membaling kertas ujian ke arah saya dan menjerit "perempuan gila'. Sebenarnya saya menerima jeritannya itu sebagai satu 'compliment'. Sebab kemarahannya ialah saya telah failed dalam matematik moden tetapi lulus cemerlang dalam matematik tambahan, pelajaran yang paling saya minati. Mungkin itu sebabnya saya berjaya juga menggenggam segulung ijazah di dalam bidang perakaunan. Alhamdulillah.
Saya juga mula mendapat 'hidayah', insaf akan segala dosa-dosa yang dilakukan, pengorbanan Ibu dan Ayah dan mula memahami tuntutan menutup 'aurat dengan sempurna ketika saya berada di sekolah tersebut. Saya masih ingat dan jelas terpampang di mata saya individu yang telah merubah kehidupan saya ketika itu. Rakan sebaya saya juga, dan kini setelah lama terpisah dengannya saya telah bertemunya semula sekitar tahun lepas. Alhamdulillah, rupanya kami berada di dalam satu Jamaah yang sama, dia di Kota Bharu Kelantan dan saya pula di Kuala Lumpur.
Saya juga tidak mungkin dapat melupakan peristiwa di mana saya menyaksikan sendiri di hadapan mata saya, mak yang saya sayangi jatuh akibat 'stroke'. Allah panjangkan umurnya hingga kini untuk melihat kami semua membesar dan berjaya di dalam pengajian dan hidup masing-masing. Namun sejak dari hari itu sehingga kini, mak sering sakit dan tidak dapat lagi membuat sebarang kerja-kerja rumah. Sejak dari hari itu juga ayah saya mengambil alih tugas mak, menjalankan segala urusan rumahtangga di samping mencari rezeki untuk kami sekeluarga.
Di hari mak jatuh, saya seorang saja berada di rumah. Saya pulang bercuti hujung minggu dari asrama. Beberapa minggu sahaja lagi selepas itu,saya perlu menduduki peperiksaan SPM. Adik saya yang berada di tingkatan 4 di sekolah yang sama tidak pulang bercuti. Hari itu mak sangat sibuk, memasak, mengemas rumah dan mencuci. Saya juga diajak sama untuk menolongnya membuat semua kerja-kerja tersebut. Mak sebenarnya sangat gembira dan excited menunggu abang sulong saya yang akan pulang bercuti di rumah. Abang saya semasa itu baru saja mendirikan rumahtangga. Jadi sudah tentu mak ingin menyediakan segalanya yang terbaik untuk anak dan menantunya yang sulong. Sampai begitu sekali pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.
Ketika saya sedang sibuk mengemas rumah di tingkat atas, tiba-tiba saya terdengar suara jeritan mak dari arah bilik mandi. Bergegas saya turun ke bawah dan kelihatanlah ibu telah terjatuh dan terbaring di dalam bilik air. Saya menjerit-jerit memanggil-manggil ayah saya atau sesiapa saja. Saya mengangkat ibu keluar dari bilik air. Mak seperti sudah tidak sedarkan diri, tetapi matanya masih terbuka. Saya memanggil-manggil mak, sambil memicit-micit sebelah badan mak. Saya masih teringat bertanyakan mak sambil tangan saya terus memicit sebelah badan mak...." Mak rasa tak ni"....mak diam sahaja dan terus diam.
Bila ayah dah sampai ke rumah, ayah menyuruh saya pergi ke rumah saudara yang letaknya agak jauh di belakang. Saya masih teringat berlari sekuat hati untuk menyampaikan berita mak saya jatuh dan sakit. Mak kemudiannya dibawa ke hospital. Sebelah badan mak dah tak dapat bergerak. Mak tak dapat berkata-kata lagi dengan saya ketika saya perlu pulang semula ke asrama. Doktor mengesahkan ada darah beku di salur darah di kepala mak.
Walaupun hati saya amat sedih dan risau dengan apa yang terjadi pada mak, saya tetap perlu pulang ke asrama. Ayah menghantar saya pulang ke asrama. Sesampai di asrama, saya dan juga ayah lansung tidak memberitahu apa-apa kepada adik saya yang datang berjumpa ayah. Tetapi bila ayah pulang saya akhirnya tak tertahan juga, terpaksa juga memberitahu adik akan apa yang berlaku. Kami sama-sama berpelukan sambil menangis. Adik pulang juga ke rumah menziarahi mak keesokkan harinya.
Saya tidak dapat lagi mengingati bagaimana saya melalui hari-hari seterusnya hingga saya melalui peperiksaan SPM yang bakal menentukan masa depan saya dengan keadaan ibu yang sakit teruk. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah saya berjaya juga dengan keputusan yang cemerlang. Akhirnya saya menjadi anak mak dan ayah yang pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Mak pula hingga kini masih lagi sakit dan banyak kali juga perlu keluar masuk hospital. Ayah pula ketika saya pulang bercuti di dalam tahun 1987, telah memaklumkan yang ayah akan kahwin lagi. Ayah mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan tersebut. Memandangkan mak sudah tidak lagi dapat melakukan sebarang kerja dan ayah pula yang terpaksa membuat segala kerja rumah, maka ramai saudara yang mendesak ayah untuk kahwin lagi, sudah tentu dengan persetujuan emak. Namun berat mata memandang dan cuba memahami sudah tentu lebih berat juga lagi tekanan perasaan buat emak dan juga ayah. Namun semuanya terpaksa juga dilakukan. Hampir ke semua adik beradik saya tidak bersetuju.
Di hari pernikahan ayah, tidak ada abang, kakak atau adik2 saya yang mahu atau sanggup menemani ayah ke rumah 'emak baru' kami. Hanya saya seorang yang diberikan tanggungjawab untuk menemani ayah.
Sedih....memang sedih ketika mendengar lafaz nikah dari mulut ayah. Menitis juga air mata saya...
Tetapi itu semua sudah lama berlalu..Allah masih panjangkan umur mak dan ayah. Ayah masih sihat menjalankan tanggungjawabnya terhadap mak dan 3 orang anak ayah bersama mak baru yang masih bersekolah. 3 orang anak ayah rapat dengan kami sekeluarga, hinggakan seorang darinya yang sulong tinggal dan dibela oleh mak saya. Namun perhubungan dengan mak, anak dan mak yang kedua tetap dingin hingga kini. Namun ayah tetap sabar menjadi seorang suami dan ayah yang adil. Di suatu ketika saya menjadi tempat ayah meluahkan perasaan sedih terhadap apa yang berlaku kepadanya. Saya hanya mampu menjadi seorang pendengar yang baik untuk meringankan beban masalah ayah.
Saya tidak akan boleh dan melupakan jasa dan pengorbanan ibu dan ayah...Semoga Allah panjangkan usia mereka dalam keimanan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Swiss-Inn
Sungai Petani

6 comments:

maklang said...

Sedih ya...Alhamdulillah...mak ummu Asiah masih sihat...

silversarina said...

walaupun nampak macam tak kena bila bapa kawin lain namun sebenarnya lebih banyak membawa kebaikan ... semoga ibubapa ummi tenang dan bahagia hingga akhir hayat.

ummu asiah said...

Mak lang
Masing2 ada kisah kehidupan tersendiri. Semoga semuanya membuatkan kita lebih sabar dan redha dgn apa yang terjadi pada kita dan beri pengajaran pada anak2 kita pula.

ummu asiah said...

Kak Rina.
Ameen..Terima Kasih,Tapi tu lah kak rina..bukan senang nak melalui kehidupan dan membuat keputusan yg berkaitan poligami ni. masing2 akan bagi alasan, macam kisah kawan kak rina tu..itu memang kes yang menggeramkan jiwa.

NURAZZAH8 said...

semoga tabah menghadapi hari-hari mendatang...

Neeza Shahril said...

bercucuran airmata neeza baca kisah akak ni.. kadang2 anak2 tak boleh faham masalah parents selagi diorang tak hadapinya sendiri. Memang sukar nak terima orang lain dalam keluarga kita...
Neeza tak pernah alami apa yang akak alami, tapi neeza rasa boleh faham situasi ayah akak..
Keadaan tentu berbeza kalau mak akak sihat kan...