Perjalanan yang menyeksakan
Perjalanan dengan truck polis adalah satu pengalaman yang amat menakutkan dan menekan jiwa kami semua. Tangkapan polis tidak menakutkan kami tetapi cara kami dikejarkan ke IPK KL didalam truck tersebut benar-benar menakutkan. Pemandu membawa truck seperti lagak orang yang tidak sedarkan diri. Dia membunyikan hon berkali-kali dengan kuat di sepanjang jalan sambil terdengar jeritan dari kereta polis yang lain “BERI LALUAN, BERI LALUAN”.
Di setiap belokan ke kiri dan ke kanan kami terpaksa berpaut kuat di jaring besi. Belakang kami terhentak dengan kuatnya ke dinding besi truck tersebut. Di satu belokan yang amat tajam dan merbahaya sahabat wanita saya yang lain telah terhumban jatuh dari bangku. Saya sempat berpaut pada besi. Kami menjerit-jerit agar pemandu tidak membawa dengan laju dan merbahaya.
Tidak cukup dengan keadaan seumpama itu, kami turut diriingi dengan sebuah kenderaan polis dan seorang polis trafik yang bermotor. Siren dipasang sepanjang perjalanan. Dari saat itu lagi kami secara langsung telah diseksa oleh Polis Di Raja Malaysia. Apakah sepatutnya perkara seperti itu dilakukan. Apakah kenderaan polis tersebut tidak boleh dibawa dengan sopan dan berhemah??? Inilah persoalan yang bermain di kepala saya.
Tidak cukup dengan itu, kedengaran pula bunyi helikopter berlegar-legar di atas mengikuti kami. Hebat memang hebat…Kami benar-benar dibuat seperti penjenayah yang amat merbahaya, sedangkan kami semua adalah rakyat yang bangun menuntut keadilan dan memohon pemerintah menghentikan tindakan mereka menzalimi rakyat dengan menaikkan harga barangan tanpa belas kasihan.
Kami menyimpan azam dan keinginan untuk menumbuk muka pemandu yang tidak berhati perut tersebut, menunjukkan betapa marahnya kami terhadap perbuatannya. Namun peluang tersebut tidak tercapai kerana kami semuanya diarah naik ke IPK KL dengan segera sebaik sampai di sana.
Polis Berniat Jahat…Mala Fide
Polis dan Penguasanya memang berniat jahat, ini adalah kerana sebaik tiba di kantin IPK KL kelihatan tersedia 2 baris meja yang panjang di kiri kanan koridor kantin, dengan deretan polis dan SB bersedia menjalankan tugas. Kami rupanya bukan kumpulan pertama yang ditangkap. Di sana telah ada beberapa orang yang telah dibawa lebih awal. Mereka terdiri dari beberapa orang anggota Unit Amal, termasuk 2 orang pakcik unit amal yang sudah agak berumur iaitu Pakcik Zamhuri dan Pak Mat. Namun saya amat mengenali mereka kerana sering nampak mereka berdua bertugas di setiap demonstrasi yang diadakan.
Selepas dari itu semakin ramai lagi orang kena tahan yang dibawa masuk bersama kami, termasuklah para pimpinan iaitu Tian Chua, Dr Nasir, Ustaz Badrulamin, Mohd Sabu, Dr Hatta, Dr Zulkifli, Ustazah Nuridah dan lain-lain lagi. Sudah tentu itu memberi semangat kepada kami semua yang sudah lebih awal ditangkap. Kami melaungkan takbir dan kata-kata semangat setiap kali ada kumpulan baru yang dibawa masuk.
Suasana di tempat kami dikumpulkan amat sibuk sekali di pihak pegawai polis. Macam-macam urusan yang perlu mereka selesaikan. Macam-macam kesalahan dan bukti-bukti yang cuba mereka cari dari kami. Bagi pihak kami, kami tidak memudahkan urusan mereka, kerana kami tidak bersalah dan ditangkap tanpa sebarang alasan.
Beberapa orang pegawai polis dan SB cuba memaksa beberapa orang muslimat untuk menyerahkan vest-vest yang mereka pakai, kerana mereka mendakwa ada tanda-tanda lambang yang tidak mereka sukai di situ. Sudah tentu kami tidak ingin meyerahkan kepada mereka. Seorang pegawai polis mengugut akan membawa satu ‘search list’ yang akan memaksa kami menyerahkan barang yang mereka kehendaki. Kami tidak menghiraukannya sebaliknya terus berkeras dan melawan arahan mereka. Akhirnya tidak ada sebarang ‘search list’ yang dibawa kepada kami. Sebaliknya seorang pegawai polis datang membawa satu borang untuk kami tandatangani yang mengatakan bahawa tiada rampasan barangan yang dilakukan.
Sepanjang masa kami ditahan di IPK KL mereka tidak memberi sebarang makanan kepada kami kecuali bekalan air mineral. Walaupun ada kantin di sana , tetapi kami tidak dbenarkan untuk membeli makanan. Kami ditahan di sana sejak dari jam 3 petang hingga jam 2.30 pagi. Sepanjang masa setiap perkara yang kami ingini kami terpaksa meminta berkali-kali dan kadangkala terpaksa menjerit beramai-ramai. Untuk makan kami terpaksa menunggu dengan lama untuk mendapatkannya dari sahabat-sahabat yang mengirim dari luar.
Kami dapat makan roti canai setelah terpaksa menunggu hampir sejam. Itupun setelah beberapa kali saya terpaksa memohon kebenaran dari pegawai polis. Terima Kasih kepada sahabat baik saya yang bersusah payah membeli dan membawa kepada kami.
Kaum wanita didahulukan untuk menjamah roti canai yang masih panas itu.Namun selepas itu kami semua berkongsi makan beramai-ramai.Terasa nikmat benar makanan yang sedikit itu. Selepas dari itu kami mendapat banyak juga bekalan makanan yang dibawa dari luar oleh para penyokong yang datang tanda solidarity kepada kami yang ditahan.
Sebelum ini saya sentiasa cuba meluangkan masa memberi sokongan kepada mereka yang ditahan setiap kali ada orang yang ditahan semasa demonstrasi aman. Tapi untuk kali ini saya pula berada di dalam dan saya tertanya-tanya adakah sahabat dan penyokong di luar, ramaikah mereka?.
Rupanya memang ramai di luar menanti kami dengan penuh kesabaran. Mereka menunggu sejak kami mula ditangkap hingga lewat malam. Kami dapat melihat mereka dari kejauhan dan terdengar jelas laungan mereka kepada kami. Mereka turut menyalakan lilin tanda protes terhadap penahanan kami dan tanda sokongan yang tak berbelah bagi. Itu memberikan kami kekuatan untuk terus berjuang dari dalam tahanan.
Penantian dan Penyeksaan
Ramai juga yang menyangkakan kami semua pasti dibebaskan segera dan tidak kurang juga yang yang sudah membuat ramalan yang kami akan menghabiskan masa 24 jam kami di lokap. Kami yang ditangkap berada di dalam keadaan tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya. Penantian kami memang penuh dengan ‘mental torture’ dari pihak polis dan SB. Mereka seolah-olah mempermain dan mempersendakan kami. Tidak tahulah apa tujuan sebenar mereka.
Ini berlaku apabila Inspektor Anand datang mengumpulkan semua yang ditahan. Semua nama kami dipanggil untuk memastikan semuanya ada di situ. Kemudian dia membuat pengumuman bahawa keputusan akhir nasib kami semua hanya akan diketahui selepas dia dan pegawai polis yang lain mengadakan mesyuarat di tingkat atas. Hebat sekali kes penahanan kami. Sesudah ditahan mereka masih tidak tahu apa yang patut dilakukan atau mereka menunggu arahan keras dari pihak atasan yang ingin memadamkan api kebangkitan rakyat.
Dia kemudiannya beredar dari sana. Peristiwa ini berlaku sekitar jam 10.30 malam. Kami terus menunggu dan menunggu lagi. Nasib baik bekalan makanan dan minuman masih banyak lagi. Dalam masa kami menunggu tersebut, beberapa orang tahanan dari PSM telah dibebaskan. Mereka dituduh di atas dakwaan lain iaitu ‘gangsterism’, walaupun mereka ditangkap dalam peristiwa yang sama.
Saudara Arutchelvan juga sudah tidak lagi kelihatan bersama kami, tetapi kami yakin beliau telah dibawa lebih awal ke lokap. Begitu juga Pakcik Zamhuri dan Pak Mat, kami sudah tidak melihat kelibat mereka berdua sejak lewat petang. Kami menyangka mereka berdua sudah dibebaskan kerana tergolong dalam kategori warga emas!. Tetapi kami agak pelik kerana polis masih menyebut nama mereka setiap kali kami dikumpulkan.
Di penjara atau tidak dipenjarakan…Pening Lagi Polis
Seketika selepas Inspektor Anand pergi, datang seorang pegawai yang tidak beruniform mengarahkan supaya nama-nama yang bakal disebutnya untuk bangun berdiri dan berkumpul setempat. Hampir separuh dari kami dipanggil, kumpulan tersebut termasuklah sahabat-sahabat wanita dari PSM iaitu Kohila, Saraswathy, Vijaya dan Saudari Ginie Lim.
Kami kumpulan beberapa orang muslimat dan lelaki yang lain, dimasukkan dalam kumpulan yang lain. Selepas beberapa lama menunggu kedengaranlah khabar-khabar yang mengatakan bahawa kumpulan yang pertama ini akan di bawa ke lokap Jalan Hang Tuah (Pudu Jail). Apa nasib yang bakal menimpa kami yang lainnya belum tentu lagi. Saya mula menghantarkan sms kepada suami dan rakan-rakan yang lain akan apa yang berlaku. Kemungkinan suami saya merasa agak lega apabila saya membalas smsnya dan mengatakan bahawa saya berada di kumpulan yang kedua.
Namun setelah menunggu dan menunggu beberapa lama, tidak ada apa-apa yang berlaku juga. Maka kami terus bersatu kembali di dalam satu kumpulan yang besar. Seketika kemudian datang lagi seorang pegawai yang lain pula dan mengarahkan agar semua OKT wanita bangun dan berkumpul di satu tempat. Tanpa apa-apa bantahan kami bangun dan membuat satu kumpulan yang baru. Sekali lagi kami menunggu dan menunggu. Sekali lagi tidak ada apa-apa yang berlaku lalu kami bersurai dan bersatu kembali.
Kali ketiganya datang lagi seorang pegawai yang lain memberi arahan kepada kami semua, agar semua OKT lelaki bangun dan berbaris berdua-dua di hadapan. Seperti kami, OKT lelaki bangun mengikut arahan dan berbaris berdua tanpa apa-apa bantahan.
Namun seperti sebelumnya tiada ada apa yang berlaku. Kami mula merasakan sesuatu yang tidak sepatutnya sedang berlaku. Inspektor Anand yang katanya sedang bermesyuarat masih belum turun-turun lagi, namun kami telah dipermainkan beberapa kali.
Keadaan tersebut tidak berhenti di situ sahaja, tiba-tiba datang seorang lagi pegawai yang membuat pengumuman yang katanya datang dari Ketua Bahagian Jenayah Kuala Lumpur yang kami semua akan dihantar ke Lokap Jalan Hang Tuah. Ketika itu kami semua membantah tanda tidak percaya dengan maklumat tersebut. Akhirnya lelaki tersebut beredar saja dari tempat kami.
Peristiwa ini berlaku sekitar jam 11.30 malam. Selama kami berada di kantin IPK KL kami dibenarkan untuk solat di surau IPK tersebut yang berada di tingkat bawah. Namun segala pergerakan kami perlu ditemani oleh 2 orang SB wanita yang turut menunggu di luar pintu surau tersebut dan mengiringi kami balik semula ke atas. Maka 3 kali jugalah SB tersebut membuat tugas-tugas khas tersebut. Kami menyempurnakan 3 solat fardhu kami di sana, Asar, Maghrib dan Isya’.
Jangkaan saya bahawa solat Isya’malam itu mungkin merupakan solat akhir saya di sana adalah tepat sekali kerana selepas itu Allah mengurniakan anugerah peluang kepada saya dan sahabat-sahabat OKT yang lain untuk melakukan solat di dalam PENJARA!!!
OKT yang ‘POWER’
Kami semua beruntung kerana ditahan bersama orang-orang yang ‘power’ dan berpengalaman. Bersama kami juga ada seorang peguam dan juga seorang wartawan. Maka kami menerima banyak panduan dan nasihat. Nasihat yang utamanya ialah jangan layan SB iaitu mereka-mereka yang tidak beruniform dan tidak memakai tanda nama. Memang SB ini sentiasa menyakitkan hati manusia. Mereka juga diberi ruang dan masa untuk memanggil kami seorang demi seorang untuk diambil maklumat peribadi diri. Memang tak kuasa kami melayan mereka. Kami juga dinasihati agar menjawab tidak tahu atau tak perlu jawab lansung untuk setiap soalan yang diajukan oleh pihak polis dalam soal siasat mereka.
Soalan-soalan yang ditanyakan kepada kami dalam ‘statement 112’ ialah lebih kurang seperti berikut:
- Kemana awak pergi
- Adakah anda menerima sebarang bayaran
- Adakah polis memberi sebarang arahan untuk bersurai di dalam perhimpunan tersebut
Sudah tentu kami menjawab tidak atau tidak tahu. Seorang anggota polis yang duduk bersebelahan dengan pegawai yang menyoal siasat siasat tiba-tiba mencelah dan bertanya kepada saya “Macamana akak ni boleh terbabas”. Apa lagi saya naik berang dengan soalannya dan terus berkata kepada dia agar tidak campor tangan dalam soal-siasat saya.
Satu lagi proses yang terpaksa dilalui oleh OKT ialah sesi mengambil cap jari oleh pegawai yang kemungkinan didatangkan khas dari Bukit Aman agaknya. Bukan satu cap jari ibu jari saja yang diambil, tidak sama sekali. Ke sepuluh-sepuluh jari diambil, bukannya perlu diturunkan ke satu borang, tidak sama sekali, tetapi entah ke atas berapa borang pun tidak dapat dipastikan.
Kemudiannya pula ialah sesi mengambil gambar dengan memegang papan di atas dada, papan yang bertulis ‘OPS PADAM3’. Wah hebat!...macam dalam cerita jenayah lagaknya. Paling menyakitkan hati ialah nama kami, sehingga ke nama ayah dan binnya sekali perlu dinyatakan dan lain-lain perlu ditanya berkali-kali untuk setiap pegawai yang bertugas bertanya. Melampau betul! Sudah tentu ianya mencabar kesabaran kami.
Saudari Aiman telah mula membantah apabila nama ayahnya ditanya lagi, lalu dia terus membantah ketika gambarnya hendak diambil. Saya juga lansung membantah apabila giliran saya untuk diambil cap jari. Pegawai polis tersebut tidak dapat memaksa saya.
Siapa yang menyusahkan siapa?
Perkara yang paling menyakitkan jiwa-jiwa kami yang tidak bersalah ini ialah apabila polis dan SB mengatakan kepada kami, setiap kali kami ‘menyusahkan’ kerja mereka ialah…
”Tolonglah kak/puan, sabarlah, janganlah melawan, kami ni pun penat, kami ni ada anak isteri di rumah, kami ni kerja dari pagi sampai malam”.
Apa lagi kami pun menjawab dengan keras juga…” Apa awak ingat kami tak penat, kami tak ada keluarga, kami lansung tak salah tau. Lain kali jangan tangkap kami”. Hah…puas rasa hati.
Kami juga dinasihatkan oleh Jonson Chong peguam yang turut ditangkap agar kami semua membuat laporan polis di atas tangkapan yang dibuat keatas kami. Mulalah semua kami menceritakan kembali apa yang terjadi dengan menulis di atas kertas kertas yang ada. Kemudiannya kami diberikan seorang satu borang rasmi untuk membuat laporan polis. Namun seketika kemudian Inspektor Anand datang kembali dan meminta agar semua borang aduan tersebut dikembalikan dan kami hanya boleh membuat laporan polis di Balai Polis Hang Tuah.
Hah..entah apa-apa punya arahan yang mereka terima dan beri kepada kami. Sekali lagi kami terbiar dan menunggu-nunggu akan apa yang terjadi seterusnya. Sebahagian dari kami termasuklah Dr Hatta, Mohd Sabu, Ustaz Badrul dan lain-lain telahpun berbaring dan berehat di hujung kantin tersebut di mana ada sebuah pangkin yang dilindungi oleh sebuah meja panjang.
Kami yang lain duduk-duduk dan bersembang-sembang di barisan meja di hujung yang lain pula. Ketika inilah beberapa orang pegawai polis yang beruniform sudah berdiri seperti bersedia untuk datang kepada kami. Kemudiannya pula beberapa orang SB lelaki dan wanita (berpewatakan lelaki) pula naik memenuhi ruang hadapan kantin. Kebanyakan dari mereka membawa gari. Mereka dengan sengaja menggoyang-goyang gari-gari tersebut untuk mengeluarkan bunyi yang menggerunkan agaknya.
Operasi Gari bermula
Suasana ketika itu juga agak sunyi. Jam sudah hampir dua pagi ketika itu. Suara penyokong di luar juga sudah tidak kedengaran lagi. Mereka semua sebenarnya telah dihalau keluar oleh FRU. Inilah tindakan polis kepada penyokong iaitu menghalau mereka agar mereka tidak menyaksikan kami semua dibawa pergi di dalam truck polis.
Saya sempat menghantar sms terakhir kepada suami dan sahabat tentang kejadian tersebut sebelum segala barangan kami seperti bag dan handphone diserahkan kepada Ustazah Nuridah dan suami yang dibebaskan pada malam tersebut. Namun Ustazah Nuridah dan suami hanya meninggalkan tempat tersebut semasa polis dan SB menjalankan operasi mereka ‘menawan’ kami.
Kami semua berkumpul di atas pangkin di hujung kantin beramai-ramai. OKT lelaki di sebelah kiri dan kami wanita duduk di sebelah kanan. Kebanyakan OKT lelaki berbaring dan tidur tanda protes. Apabila sekumpulan pegawai polis memulakan operasi cubaan menggari OKT lelaki untuk dibawa turun ke truck, kami semua berzikir dan berselawat beramai.
Semakin ganas sikap polis semakin kuat kami berselawat..”Laa Ilaha illallah…Laa Ilaha illallah…berulangkali. Polis mula bersikap kasar dan terus menggari dan menarik semua OKT. Ada yang menjerit kesakitan apabila ditarik dengan kasar. Dr Hatta Ramli terus memprotes dan terus membaringkan dirinya. Beberapa orang SB terpaksa mengangkatnya keluar, begitu juga Sdr Tian Chua dan beberapa orang yang lain sehingga mereka terpaksa diangkat dan diletakkan diatas troli untuk dibawa pergi. Polis juga bertindak ganas dengan menarik rambut dan memukul beberapa orang OKT termasuk Syed Jeymal, wartawan Malaysiakini.
“Kamu akan dibuka pakaian!”
Kami OKT wanita didatangi dan dihampiri oleh beberapa orang SB wanita seperti lelaki memujuk kami untuk bekerjasama dengan mereka dan mengikut perintah mereka untuk turun ke bawah. Kami juga turut memprotes dengan berdiam diri. Mengapa pula kami perlu memudahkan tugas mereka yang menangkap kami dengan niat jahat mereka.
Mereka terus memujuk dengan mengatakan bahawa mereka tidak mahu menggari kami, tapi jika kami berkeras juga mereka tidak ada pilihan selain dari menggari kami. Kami terus memprotes dan berdiam diri. Kemudiannya kami didatangi pula oleh ramai lagi pegawai polis.
Seorang SB wanita seperti lelaki menggugut dengan mengatakan bahawa semua kami akan diarahkan membuka pakaian apabila berada di Penjara Pudu. Apa lagi sudah tentu ianya membuat kami naik berang. Akhirnya setelah bosan mendengar suara-suara SB tersebut kami membuat keputusan untuk bangun dan berjalan sendiri.
Namun sahabat kami Ginie terus memprotes tidak mahu turun. Inspektor Anand sekali terpaksa datang untuk memaksa Ginie bekerjasama. Ginie terus memprotes dengan berbagai desakan. Kami kemudiannya dipanggil oleh SB naik semula ke atas. Rupa-rupanya Ginie hanya akan turun sekiranya kami sama-sama mengiringnya dan tidak mahu ada pegawai polis lelaki berhampiran hanya dengan polis wanita sahaja. Macam-macam ragam OKT kali ini. Memang pening, marah dan bosan SB dan polis yang mengawal kami.
Kami dibawa turun dan diarah menaiki sebuah truck polis yang bertutup semuanya. Malam yang kelam menambahkan lagi suasana kegelapan di dalam truck tersebut. Kami tidak dapat melihat antara satu sama lain. Hanya suara-suara kami yang kedengaran sebagai petunjuk setiap kami telah ada di di dalam.
Sebelum menaiki truck tersebut kami memberi amaran kepada SB-SB itu supaya berpesan kepada pemandu untuk tidak membawa kami dengan laju dan ganas. SB mempersendakan kami dengan mengatakan..”tak lajulah…perlahan saja”. Namun sebaik kami duduk di dalam truck, mereka mengarahkan kami untuk berpaut kuat pada palang besi. Geram betul kami. Mereka berdiri di luar dan terus berkata-kata dengan niat mempermainkan kami.
Balasan Allah, tak perlu tunggu lama
Setelah tiba di dalam kompleks Penjara Pudu, SB-SB wanita tersebut turun terlebih dahulu. Kami menunggu giliran kami. Tiba-tiba kami terdengar bunyi seperti orang yang terjatuh..”berdebuk” ke tanah. Rupa-rupanya SB wanita yang bernama Milah yang menggugut tentang kami akan dibuka baju tersebut telah jatuh ketika turun dari tangga truck.
Kami beramai-ramai di dalam..menjerit dan melaungkan “Takbir!!!!....Allah hu Akbar!!!” berkali-kali.Puas rasanya hati kami. Itulah akibatnya menzalimi orang yang tidak bersalah. Selepas itu, kami tidak pula mahu nasib yang serupa menimpa diri kami, maka Aiman berpesan supaya kami turun dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. Saya turun dahulu dengan sangat berhati-hati dan memimpin tangan sahabat seperjuangan yang lain turun dari truck dengan selamatnya. Alhamdulillah. Subhanallah.
Saudari Aiman juga telah berpesan kepada seorang SB yang lain untuk memberi amaran kepada Milah untuk menjaga mulutnya dari mengatakan yang bukan-bukan kepada kami. Tidak tahulah samada amaran tersebut sampai atau tidak kepada si Milah ini. Namun yang jelas dan ketaranya ialah si Milah ni terus terlebih baik pula kepada kami selepas itu sehingga menyebut sayang, sayang pulak. Uwwekkk….nak termuntah kami dibuatnya. Apabila kami mengadu dahaga, dia dengan segera pergi mengambil air kotak yang sejuk dan menghulurkan kepada kami. Bila ada yang menyebut dahaga lagi, dia lansung mengambil bag plastik dan membawa beberapa kotak lagi air. SB oh SB….