Friday, 11 July 2008

Lagi kisah sedih mengenai Kematian Adik Aina....

Saya masih lagi membaca kisah-kisah kematian adik Allahyarham Aina Mardhiah di beberapa blog yang berlainan...ini bermakna...betapa kematian adik Aina memberi kesan kepada ramai rakyat Malaysia..betapa ramai rakyat Malaysia menyedari betapa zalimnya ISA ini...

Semasa kami di Pusat Sokongan Keluarga GMI menziarahi Fatma pada hari Rabuyang lepas, Fatma menceritakan yang suaminya Shahrial lansung tidak diberitahu perkara yang sebenar oleh pegawai KEMTA, tentang keadaan Adik Aina yang sedang kritikal dan sedang bertarung nyawa..

Adik Aina jatuh pada hari Rabu. Pada jam 3 petang setelah keadaan Adik Aina disahkan kritikal oleh doktor wakil JIM Cheras telah fakskan memo dari doktor ke KEMTA dan Bukit Aman. Namun bila Fatma menalipon suaminya pada jam 10.30 pagi pada hari Khamis, bertanyakan tentang Shahrial, pihak KEMTA menyatakan beliau masih disana @ dalam kawasan. Terkejut Fatma, lantas Fatma yang lembut itu berkeras mahu bercakap sendiri dengan suaminya Sharial. Shahrial bertanyakan kpd isterinya tentang keadaan AIna..
Sekali lagi Fatma terkejut..."Abang tanya keadaan Aina..abang tahu tak anak kita kritikal..abang usahakanlah dengan apa cara sekalipun untuk keluar dari sana"....begitulah lebih kurangnya luahan dan keluhan Fatma.......itu jam 10.30 pagi..akhirnya Shahrial mendengar sendiri dari Fatma mengenai keadaan anaknya yang sedang menanti saat bertemu dengan PenciptaNya...namun Shahrial terpaksa menunggu sehingga jam 5 petang sebelum dibawa keluar dari kawasan sedangkan menurut 'Boss SB' 'Mr Ayub'...menteri dah sign pada jam lebihkurang 12.45 tghri...mengapakah Pihak KEMTA mengambil masa terlalu lama untuk membawanya keluar...Kebiasaannya KEMTA akan menyalahkan Bukit Aman, Bukit Aman akan meletakkan alasan ke PUTRAJAYA pulak...jadi...siapa yang bersalah dan patut disalahkan?????

Di bawah dikongsikan cerita keseluruhan dari Sdr Zulkifli Ahmad yang juga bertanggungjawab menjaga kebajikan keluarga Sharial Sirin.



KEMATIAN ADIK AINA MARDHIAH SHARIAL

Pada 3 Julai 2008, keluarga Sdr Sharial – Siti Fatma diuji lagi. Kalau hampir 7 tahun dahulu keluarga ini diuji dengan penangkapan Sdr Sharial dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) yang zalim itu, kini keluarga yang terpilih ini diuji dengan kematian anak sulung pasangan tersebut iaitu adik Aina Mardhiah – 17 tahun.

Bagi kami, JIM Daerah Cheras (JDC), keluarga ini amat tidak asing kerana dengan pertolongan Allah dan izinNya semenjak hampir 7 tahun lalu, kami telah mula menyantuni keluarga ini dan juga keluarga-keluarga tahanan ISA yang lain yang berada disekitar JDC termasuklah keluarga Sdr Lokman Noor Adam ( selama lebihkurang 2 tahun). Dengan kemampuan yang ada dan turut disokong oleh beberapa orang rakan JIM, Alhamdulillah amanah yang diberikan dapat dilaksanakan oleh JDC walaupun disana-sini kadang-kala kantung JDC sendiri kering. Tetapi itulah sekadar kemampuan yang ada pada JDC kerana sumbangan kewangan yang ada amat terhad serta juga menyantuni ahli keluarga dengan membuat lawatan keKemunting secara berkala dan juga kadang kala membawa ahli keluarga bersiar-siar serta membeli belah.

Dan pada 2 Julai 2008 kami dikejutkan dengan berita almarhumah adik Aina telah terjatuh dirumah. Dengan bantuan beberapa orang ahli JDC, adik Aina dibawa ke Hospital Kajang dengan kondisinya telah koma. Pada malam tersebut dengan bantuan GMI permintaan telah dibuat kepada pihak KEMTA untuk membawa pulang Sdr Shahrial menziarahi anaknya.

Pada jam 11.00, 3 Julai 2008, berita telah tersebar dikalangan ahli JDC bahawa kondisi adik Aina makin merosot dan doktor hanya memberi harapan untuk beberapa jam sahaja lagi, tetapi kelibat Sdr Shahrial belum kelihatan. Sehingga jam 4.00 petang, Sdr TimPres JIM, yang juga Pengerusi GMI, Akh Syed Ibrahim Syed Noh, memaklumkan bahawa Sdr Shahrial sepatutnya telah dibawa keluar dari KEMTA jam 1.00 tengahari. Kami menunggu di Hospital Kajang dengan penuh harapan dan sudah pastilah yang turut menunggu bersama-sama kami ialah golongan yang tak diingini iaitu pasukan Cawangan Khas (SB) sekitar 3-4 orang. Mudah betul nak mengenali mereka ini.

Jam 6.00 petang, suhu kami makin tinggi kerana masa amat terdesak tapi ayah Adik Aina masih belum kelihatan. Akhirnya sekitar jam 6.25 petang, adik Aina telah di’panggil kembali’ oleh Allah Ta’ala yang menguasai setiap jiwa tanpa sempat ditatap oleh ayahnya yang tersayang yang telah dizalimi itu. Dengan diiringi oleh tangis sendu keluarga serta ikhwah dan akhawat yang hadir pada petang tersebut, kembalilah roh Adik Aina menghadap Penciptanya. Perbincangan ringkas diatur dengan turut disertai oleh jiran keluarga ini termasuklah Tuan Haji Nawawi. Seorang ahli JDC telah menawarkan rumah beliau dijadikan tempat persinggahan sementara jenazah adik Aina memandangkan keadaan rumah sewa keluarga ini amat uzur. Namun Tuan Hj Nawawi telah menawarkan rumah beliau kerana paling hampir dengan rumah sewa keluarga ini (selang sebuah rumah). Alhamdulillah urusan dihospital dapat diselesaikan selepas solat maghrib dan komitmen dari JIM Kuala Lumpur telah diputuskan untuk menanggung kesemua kos pengkebumian jenazah adik Aina.

Sekitar jam 8.15 malam jenazah sampai di tumah Tn Haji Nawawi dengan iringan ikhwah dan akhawat JDC dan jiran-jiran. Ramai jiran-jiran dan ahli-ahli JIM yang turut hadir pada malam tersebut termasuklah mantan NaPres, Sdr Zahir Hassan serta beberapa orang bekas tahanan ISA. Sekitar jam 9.45 malam, kelihatan sebuah van dengan iringan beberapa buah kereta telah masuk kehalaman rumah Tn Hj Nawawi, rupa-rupanya Sdr Shahrial telah sampai diiringi oleh pasukan polis, tak pasti cawangan mana tetapi kesemua mereka berpakaian sivilian. Sedikit pertengkaran mulut berlaku antara polis dengan Pengerusi GMI kerana tidak berpuashati dengan kelewatan polis membawa Sdr Shahrial sedangkan permintaan telah dibuat semenjak Rabu lagi. Tetapi macam biasalah, pelbagai alasan yang diberikan. Suasana amat sayu, ramai hadirin mengalirkan airmata dan dengan mendokong anak beliau yang bongsu, Sdr Sharial masuk diiringan keluarga dan jiran menghadap jenazah adik Aina serta tahlil ringkas yang diketuai oleh Tuan Imam, Hj Ayub telah diadakan.

Sedikit kekecohan turut berlaku selepas tahlil disebabkan oleh tindakan pihak polis ingin membawa keluar Sdr Sharial. Kali ini serikandi GMI, Puan Nashita mempertikaikan masa yang amat singkat diberikan kepada Sdr Sharial bagi menziarahi anak beliau itu. Akhinya setelah berbincang dalam suasana agak panas, polis memberi tempoh selama 1 jam sebelum Sdr Shahrial dibawa pergi dengan janji pagi esok akan datang lagi untuk urusan pengkebumian jenazah.

4 Julai 2008, jam 10 pagi, jenazah mula dmandikan oleh Sdr Sharial sendiri dibantu oleh keluarga dan tukang mandi jenazah. Pada masa tersebut keluarga malang ini turut diziarahi oleh jiran tetangga, kenalan dan sebagainya termasuklah Tuan Presiden JIM, Hj Zaid Kamarudin, YB Saari Sungib dan EXCO Kerajaan Selangor, YB Iskandar Samad.

Sekitar jam 10.45 pagi, jenazah telah dibawa ke Masjid yang berdekatan untuk di sembahyangkan. Alhamdulillah jam 12.00 tengahari, jenazah selamat dikebumikan ditanah perkuburan yang berdekatan yang juga turut dihadiri antaranya ialah Presiden JIM, TimPres Yang juga Pengerusi GMI, Syed Ibrahim, YB Saari Sungib, MP Hulu Langat YB Dr Hj Rusli dan ramai lagi sahabat taulan dan rakan. Suasana sedih menyelubungi upacara pengkebumian ini. Sekitar jam 12.15 tengahari, semuanya telah selesai, dan pelukan akhir dengan Sdr Sharial sebagai tanda simpati dan semangat untuk beliau yang sudah pasti selepas hari itu akan kembali ke KEMTA di Kemunting dan bermulalah sambungan episode tahanan tanpa perbicaraan dibawah Akta ISA yang zalim itu.

Akhirnya izinkan ana berkongsi sms yang di nukilkan oleh ibu adik Aina, Siti Fatma untuk tatapan kita semua;

“ Aina Almardhiah nama diberi kepada putri sulungku. Aina Mardhiah adalah nama bidadari syurga, dia menjadi bidadariku didunia dan akhirat. Aina Mardhiah menjadi rebutan para mujahid daN syuhada’, pernah kuberniat kan kuberikan pada mujahid ini ……. tapi Allah lebih mencintainya dan mengkehendakinya. Doakan dia, Allah memberi pertolongan dan dimudahkan juga cahaya di alam pembaringannya kini…….afwan.”



- TAMAT -

4 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum kak... salam kunjungan..

memang sedihkan cerita ni. jika ye pun ayah dia ada buat salah yang kononnya mengancam negara, perikemanusiaan la sket... dah le tahan si ayah tanpa bicara, biarkan si ibu mencari rezeki serta menjaga anak. saya rasa begitu mengerti sekali perasaan wanita & juga perasaan si ayah itu.

untuk info, si ayah ditahan kononnya disebabkan oleh menyertai JI. jika tak kerana kisah adik ni, dah tentu saya sendiri pun tak tahu betapa banyak tahanan ISA lagi kat dalam nun..

sungguh zalim!

ummu asiah said...

suealeen..
terimakasih di atas kunjungan..memang dah ramai yg dizalimi oleh ISA..

paling ramai mereka ditahan atas tuduhan 'menganggotai Jemaah Islamiyyah'..dalam pertuduhan mereka yang dibacakan semasa kes Habeas Corpus mereka ialah kerana mereka menghadiri usrah, tamrin, ceramah, kutip derma sebanyak seratus lebih sahaja..dan semua yang tak sepatutnya menjadi kesalahan.

Cara ke semua tahanan ISA ditangkap juga sangat kejam dan sengaja SB nak menunujukkan seolah mereka ini pengganas..

So..sue..jom bersama kami mendedahkan kezaliman ISA..dan jgn lupa sign petition online..kalau rajin lagi, hantar surat terus kepada Menteri Dalam Negeri tu..kempen kami di GMI masih berterusan hingga ISA dimansuhkan..not easy..but moga Allah berikan kekuatan dan bantuan

Neeza Shahril said...

sedihnya la.. memang dia ditakdirkan untuk masuk syurga dan membantu ibubapanya untuk masuk syurga..
kepada pihak yang zalim tu, semoga balasan Allah akan segera dirasai..

Aina@Azila said...

Sedih betul. Yang I tak faham tu, katanya menteri dah sign jam 12.45pm, napa tak keluarkan dia lagi? Kenapa dilengahkan sampai pukul 5?.

Memang orang2 kat situ bukan orang, tapi beruang yang tak der perikemanusiaan langsung.

I ingat kat cerita Prison Break, at last pegawai penjara yg kuat rasuah tu sendiri kena masuk penjara yg paling ganas di Panama. Siapa yg mengikuti cerita Prison Break, boleh faham sangat situasi ni. Semoga Allha beri balasan kepada yg zalim, Alfatihah kepada adik Aina. Sesungguhnya Allah tidak menguji dengan 'percuma' ...pasti ada ganjarannya.