Saturday, 29 May 2010

Adakah patut minta Hakim buat kerja Polis, kecoh sampai Mahkamah kena berhenti rehat

Perbicaraan "Ops Bubar DUN Perak" bersambung untuk hari ke dua pada 27 hb Mei 2010. Perbicaraan bermula jam 11 pagi dengan saksi yang baru.

Saksi seterusnya yang dipanggil ialah pegawai penangkap Deputi Superintendan DSP Fadhil Hj Marsus berumur 35 tahun.

Bertugas di Siasatan Khas D9 Bukit Aman Bahagian Operasi sejak 2009. Memegang jawatan DSP dari Oktober 2009.

Pihak Pendakwaraya memulakan soalan mengambil keterangan dari saksi. DPP Hamdan.

S : Pada 6-02-09 awak bertugas di mana?

J : Saya ditugaskan di OPS KHAS di Kuala Kangsar.

S : Berapa orang pegawai bertugas dari Bukit Aman?

J : Dari bahagian D9 Bukit Aman seramai 6 orang pegawai dan 20 orang anggota.

S : Bila sampai bersama pasukan?

J : Pada 6-02-09. Sampai jalankan tugas lebihkurang jam 6am.

S : Kamu bersama pegawai dan anggota?

J : Ya.

S : Bila sampai di Kuala Kangsar lapor diri pada siapa?

J : Ketua Polis Daerah yang juga bertindak sebagai ground Komander.

S : Lebih kurang pukul berapa?

J : 7 am.

S : Apa arahan yag diberikan?

J : Taklimat berkenaan tugasan pada hari tersebut. Diberikan kepada JSJ D9 Bukit Aman dan pegawai penangkap peringkat kontingen negeri Perak.

S : Apa tindakan?

J : Ambil tempat dan mulakan jalankan tugasan.

S : Arahan yang diberikan oleh KPD dimana?

J : Di IPD Kuala Kangsar.

S : Apa tindakan seterusnya yang diambil?

J : Beri taklimat pada anggota saya dan pegawai bawah saya dan mengkoordinasikan tugasan mengikut keperluan sebelum pergi bersama pegawai dan anggota untuk jalankan pemantauan di jalan menuju ke istana.

S : Lebih kurang pukul berapa kamu dan pegawai jalankan pemantauan?

J : Lebihkurang dalam pukul 9am mula pemantauan.

S : Bagaimana keadaan jalan dari mana ke mana?

J : Menghala ke istana mula di hadapan bulatan dekat IPD sampai ke Istana.

S : Masa jalankan pemantauan dalam pukul 9 bagaimana keadaan?

J : Terkawal kelihatan pegawai dan anggota polis turut memantau.

S : Maksud kamu keadaan terkawal macamana?

J : Tak ada kekecohan tak ada jenayah berlaku.

S : Seterusnya jalankan pemantauan apa yang berlaku?

Orang ramai berkumpul dan bergerak keluar dari masjid selepas solat JUMAAT-AMAN

J : Pada tarikh yang sama jam 12 tghari pasukan saya keseluruhannya telah bertugas statik tetap di bahagian atas bukit dari jam lebihkurang 2 petang. Selepas soaat Jumaat kelihatan sekumpulan orang awam telah berkumpul dan telah merempuh pasukan FRU sehingga menyebabkan saya dan kumpulan saya bersama pasukan terpaksa mengundurkan diri ke arah istana.

S : Pohon dirujuk P 34 gambar-kamu cam gambar?

J : Saya cam Yang Arif.

S : Gambar apa?

J : Gambar di hadapan Masjid Ubudiyyah.

S : Ambil tempat tugasan statik di mana?

J : Betul-betul di hadapan Masjid seperti di dalam gambar.

S : Di bahagian mana tu?

J : Di bahu jalan di simpang masuk menuju ke masjid.

S : Semasa kamu dan pasukan kamu mulakan tugas jam 12 tengahri macamana keadaan?

J : Masa tu kelihatan orang ramai berkumpul dan berada di perkarangan masjid dan kelihatan pegawai PORU berkawal hingga solat Jumaat pada hari tersebut, keadaan masih terkawal.

S : Kamu lihat pasukan PORU berkawal di mana?

J : Bersama kami berhadapan dengan masjid.

S : Siapa yang lakukan tugasan bagaimana pakaian?

J : Pakaian pasukan saya memakai pakaian preman dan memakai vest polis.

S : Maksudnya?

J : Vest bertulis POLIS di bahagian belakang yang dibekalkan pada saya.

Lagi gambaran keadaan aman selepas selesai solat Jumaat, orang ramai hanya baru berarak ke arah Istana dengan tersusun dan teratur. Masih di perkarangan Masjid.

S : Boleh beritahu mahkamah bagaimana keadaan orang ramai masa lepas solat Jumaat?

J : Lebih kurang jam 2:15pm kelihatan sekumpulan orang ramai telah berkumpul di perkarangan masjid dalam keadaan riuh rendah dan orang ramai yang ada ketika itu bergerak keluar dari Masjid dan telah merempuh......

S : Dalam keadaan bagaimana?

J : Mara ke arah pegawai PORU yang bertugas dan ke arah pasukan saya.

S : Pada masa tu orang ramai berasak-asak tu di mana pasukan kamu dan kamu?

J : Statik di bahagian belakang PORU di hadapan masjid tempat yang sama.

Sedang bergerak keluar dari arah perkarangan masjid menuju ke atas jalanraya bagi menerukan perjalanan ke Istana Iskandaria bagi menyatakan protes rakyat terhadap perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan rampasan kuasa oleh BN...masih aman, senyum-senyum lagi dan anak-anak sekolah pun turut serta.


S : Apabila orang ramai berasak-asak ke arah pasukan PORU apa yang berlaku?

J : Setelah itu kelihatan orang ramai telah merempuh pasukan PORU secara agresif dan pasukan saya menyebabkan saya dan pasukan undur diri ke atas dan arah Istana dan FRU bersama-sama telah dirempuh.

S : Tadi kata telah dirempuh secara agresif, bagaimana?

J : Tak peduli sekatan PORU dan wujud sekumpulan orang ramai yang telah menolak PORU dan pasukan saya.

S : Bila pasukan kamu dan PORU undur ke Istana apa yang berlaku?

J : Orang ramai yang berkumpul telah mara ke arah saya dan pasukan saya menyebabkan kami terpaksa bergerak pantas ke arah Istana dan ketika sampai ke Istana PORU dan saya telah buat formasi semula bagi menghalang pergerakan orang ramai ketika itu.

S : Setelah kamu dan pasukan kamu naik atas bagaimana keadaan?

Kecoh dan huru hara selepas gas pemedih mata dilepaskan.....berlari naik ke atas perkarangan Masjid dari arah jalanraya. Kesian tengok keadaan orang ramai dibedil gas yang dituju tepat ke arah orang ramai.

J : Orang ramai telah berkumpul di hadapan formasi yang telah kami bentuk dan kemudiannya pegawai PORU bertindak menyuraikan kumpulan orang ramai dengan cara beri arahan bersurai dan lepaskan gas pemedih mata.

S : Apa yang berlaku?

J : Setelah disuraikan ketika itu kumpulan orang ramai ada yang bergerak ke belakang dan ada sekumpulan orang ramai yang masih berada di tempat tersebut dan tidak endahkan arahan bersurai ketika itu ada yang di kalangan orang yang berkumpul tersebut telah baling objek ke arah PORU.

S : Apakah tindakan yang telah diambil?

Orang ramai yang telah berkumpul semula di atas jalanraya.

J : Setelah wujud keadaan demikian saya arahkan pasukan saya mara ke arah hadapan arah masjid bersama-sama PORU untuk jalankan tangkapan terhadap orang ramai yang masih berkumpul dan enggan bersurai. Ketika itu saya bersama pasukan telah mara dan tangkap beberapa orang yang enggan bersurai tersebut dan tangkapan-tangkapan yang telah dibuat telah diserahkan pada anggota detektif untuk diescort ke lori tangkapan.

S : Kamu begerak dari arah Istana menuju ke masjid dan balingan objek yang dilihat pada hari itu dari mana?

J : Datang dari arah kumpulan orang ramai yang enggan bersurai.

S : Yang kamu lihat objek-objek yang dibaling apakah objek?

J : Antara objek digunakan dan dibaling ke arah saya ialah batu besar, batu kecil, botol air mineral yang berisi batu-batu, kayu dan kaca.

Balingan objek yang didakwa oleh DSP Fadhil dibaling dari kawasan ini, dan di kawawan ini jugalah OKT no 5 mengambil gambar dan cuba menghalang orang yang membaling objek ke bawah.

S : Berlaku di kawasan mana?

J : di kawasan sepanjang jalan di antara Istana hingga di bawah di kawsan masjid.

S : Kamu telah diarahkan untuk anggota dan pegawai untuk lakukan tangkapan. Beritahu mahkamah di mana dan siapakah tangkapan-tangkapan?

J : Beberapa tangkapan saya sendiri besama pegawai saya Cif Inspektor Fauzi tangkap 2 nama. Tangkapan telah dibuat di kawasan antara Istana menuju Masjid.

S : Tangkapan saya buat atas penama Zulhaizam dan Ade Helmi.

[camkan tangkapan dan Inspektor Fauzi]

J : Pada hari tersebut arah tangkapan masa tugasan disatukan dan dibuat laporan polis bagi tangkapan seramai 9 orang tangkapan dalam penugasan tersebut.

PORU yang disebut berada di belakang dan anggota penangkap yang bervest HIJAU berada di belakang PORU. Yang berbaju biru adalah salah seorang polis yang berpakaian PREMAN.

S : Boleh ingat nama mereka?

J : Meor Safrizal, Mohd Hafiz [salah nama], Zulhaizam, [okt 4 tak ingat nama terus ke OKT 5], Bad Latif, Ade Helmi [OKT 6], Yusof [OKT 7], Ismail [OKT 8] dan Idris [OKT 9].

S : Ada ambil butiran tangkapan mereka?

J : Dalam laporan polis yang saya buat pada 6-02-09. KK report no 5-11-2009.

S : Kamu nyatakan tangkapan 8 orang yang kamu nyatakan tapi ada 9 orang?

J : Isha Riduan no 4 dalam kandang.

S : Boleh jelaskan dalam laporan polis 15-20 orang apa yang dimaksudkan?

J : Kumpulan orang ramai yang masih ada di situ dan enggan bersurai dan antara mereka membaling batu dan kayu ke arah saya.

S : Batu kayu, botol berisi batu, ada tak diambil objek2 itu?

J : Saya sendiri ambil batu dan pegawai saya juga ada ambil.

S : Ada ambil objek?

J : Objek2 telah diambil dan dibawa balik ke IPD dan diserahkan pada pegawai penyiasat pada hari yang sama.

S : Kamu kata ada ambil batu ada diserahkan?

J : Dikumpul di IPD dan diserahkan pada saya. Saya sendiri telah melihat objek-objek tersebut. Diserahkan pada Cif Inspektor Ishak.

S : Objek-objek yang telah diserahkan pada Cif Inspektor Ishak ada apa-apa akuan serahan?

J : Pada masa serahan borang-borang penyerahan dilengkapkan yang mempunyai butiran objek-objek yang digunakan. Saya telah serahkan objek-objek dengan laporan tersebut oleh pegawai yang menyiasat kes.

S : Adakah apa-apa penandaan yang dibuat atas objek-objek?

J : Saya telah lakukan penandaan untuk 6 batu besar. Saya tandakan A1-A6. Manakala 13 batu kecil A-M.

S : Boleh camkan borang serahan, ada tanda?

J : [Polis keluarkan sebatang kayu berbalut dengan kertas bewarna cokelat, juga sebiji batu besar lebih besar dari buah kelapa berbalut di dalam plastik beras] Barang bukti dikeluarkan bagi melihat samada ada penandaan di setiap barang yang disebut oleh saksi seperti yang dinyatakan ada penandaan di atas setiap barang.

Di ketika ini peguambela Augustine Anthony bangun melihat barang-barang dan membantah dengan menyatakan bahawa kayu dan batu-batu yang dibawa lansung tidak ada tanda dan mohon mahkamah mencatat sebagi rekod.

Peguambela Augustine Anthony juga menegaskan tentang keperluan penandaan setiap bahan bukti " None of the objects have been recorded and it is a fundamental basis of exhibit"

Kedua-dua belah pihak peguambela dan pendakwaraya bersetuju bahwa tiada penandaan ke atas bahan bukti.

Hakim terpaksa membuat keputusan untuk mahkamah berhenti rehat sebentar bagi ke semua bahan-bahan bukti dirujuk dan disusun atur semula sebelum perbicaraan boleh disambungkan kembali.

Mahkamah kembali bersambung perbicaraan oleh pihak pendakwaraya bagi mengesahkan bahan bukti objek-objek yang didakwa dibaling oleh mereka yang ditangkap.

(beri perhatian pada pernyataan saksi tentang ukuran kayu:))

Saksikan mengesahkan sebatang kayu yang disebutnya berukuran 2 kaki 14 cm warna cokelat. Saya telah balutkan dengan kertas Urusan Seri Paduka Baginda.

Batu Besar bertanda A 1 -A 6 6 biji dibalut dengan kertas Urusan Seri Paduka Baginda.

Batu Kecil ada 6 berbalut kertas yang sama. Tandaan dibuat atas kertas balutan tersebut. batu kecil 12 biji bertanda A 17 - A 18 dalam 1 balutan kertas yang bertulis Urusan Seri Paduka Baginda juga.

S : Ada tak penandaan dibuat atas batu-batu?

J : Tidak, atas surat saja.

S : Batu besar ditandakan A1 - A6 atas sampul luar atau batu ada tulis A 1 -A 6?

Saksi dirujuk kepada 6 ketul batu.

J : Ada 6 batu

Pendakwaraya mengangkat plastik yang berisi batu dan menyebut " Plastik Beras Jati"

Pendakwaraya : Marking boleh dibuat sekarang

Peguambela membantah dan tetap mengatakan bahawa ini adalah 'Fundamental Basis" kerana pendakwaraya mengatakan bahawa "marking boleh dibuat sekarang"

Peguambela membantah dan mengatakan bahawa " They are asking your honour to do police job".

Asasnya yang disebut oleh peguambela ialah hanya boleh ditanda P 49- 6 biji batu dan bukan pada setiap satu batu yang ada. Ini adalah kerana sepatutnya tandaan di setiap bahan bukti dibuat lebih awal lagi semasa serahan.

Saksi menyatakan bahawa Pegawai Penyiasat Cif Inspektor Ishak yang tanda di atas sampul Urusan Seri Paduka Baginda 6 batu besar, 12 batu kecil. 1 sampul 12 biji batu A 1- 18

Sekali lagi Mahkamah berhenti rehat untuk waktu makan dan bersambung jam 2.30 petang.

Sambungan perbicaraan sebelah petang paling menarek sekali membuat seseorang tertanya "bagaimana saksi polis ini boleh dinaikkan pangkat ke DSP", memang haru betul cara dia jawab, banyak kali riuh rendah juga tak dapat nak tahan ketawa. Nantikan sambungannya. InsyaAllah.

No comments: