Keadilan Untuk Adik Aminulrasyid 1: Hidup REFORMASI!!!!
Di FORUM : Keadilan Untuk Adik Aminulrasyid
Anjuran PKPIM
bertempat di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall
Pak Samad Said turut hadir mendeklamasikan sajak kenangan kebangkitan rakyat.
Moga Rakyat terus bangkit agar kita tidak terus dizalimi lantaran pemusatan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan Pusat.
Inilah diharap waktu syahdu amat resah
berfikir tentang diri dan begitu payah
mewajari racun seranah yang menikammu
Kenangan darurat kini berumbi kembali
senja Jumaat menyembur bara reformasi
Ketika khalayak didesak supaya bersepi
ingat, mengalir puisi Rabi’a Balkhi
merangsang kita berdebat ghairah sekali,
menghujahi senja Ahad yang terlalu ngeri
sebelum lebam mata dengan tangan tergari
Sesaat mentari dicalari keaiban berdebu
menggerhanakan bulan yang tersentak malu
Katamu, menghina sungguh peristiwa itu
Itulah, seingatku, kali terakhir warkah
cemas dicantas-geram dironyok dari atas.
Memang amat dahsyat gelora seminggu itu
ketika dua kemudi menderam ke laut seteru,
ketika tofan juga sempat menyiat puisiku
yang cuba merakam marak bara reformasi,
disamping cuba memahami punca tirani
Didera kemelut liar peristiwa nyilu itu,
sungguh, tak lagi sedamai sufi qalbumu,
aku sendiri pun terasa paling berdosa
menilai perjuangan dengan dacing salah;
wajarlah kita dicabari kejanggalannya
Jeritan senja september
Tapi, sekerlip berubah gelombang tabii;
ribuan remaja di depanku, generasi berani,
mungkin lambat mengenal inti demokrasi,
tapi cepat menyedari erti maruah diri.
Kerana menghadapi pencabar yang berang,
tangan yang kukuh, taring yang garang,
semenjak itu makin yakin mereka berdiri
dalam ribut, celah petir, sisi puisi;
nyaring menjeritkan: ‘Hidup reformasi!”
Senja iri itu, seganding mereka berjuang;
peluh, air mata dan darah akrab sealiran.
Pencengkam-selautan senjata menggugat;
para demonstran-segelombang teman sehajat,
cekal berikrar untuk tidak mudah tumpas
walau bertalu dihentak tukul yang buas
Tersentak dari deraan pemimpin sendiri,
sesudah gugup dan goyah menghidu tirani,
mereka terimbas kibaran panji iktibar
menyaksi belia yang tak sedikit pun gusar.
Setelah begitu terdera, waraslah mereka
mencari peta kemerdekaan yang lebih sasa,
menjitu ke arah yang membahagiakan pertiwi,
tidak merakus membanjirkan kuasa sendiri.
Tampak mula ramai wira menyembuh lara,
merawat keadilan demi keutuhan bangsa.
21-29 September 1998
Catatan :
Paling jelas puisi ini merakamkan peristiwa panas reformasi, dan aku cuba merakamnya seadil mungkin, tanpa mengira reaksi golongan kiri dan kanan
Pak Samad
Buku : Suara dari dinding dewan
dipetik dari sini.
No comments:
Post a Comment