Wednesday, 12 May 2010

Kes Ops Bubar Dun Perak: "waraslah sikit bila jawab soalan tu"

Perbicaraan kes Ops Bubar DUN PERAK disambung lagi. Tarikh yang telah ditetapkan oleh Puan Hakim Norsalha ialah 11hb Mei - 13hb Mei 2010. Sebelum ini kami telahpun datang ke Kuala Kangsar untuk kes ini didengar selama dua hari pada 27hb April - 28 hb April. Untuk tahun ini sahaja dari bulan Januari hingga pertengahan Mei kes ini sudah berjalan selama 13 hari yang bermakna cuti tahunan sebanyak 13 hari sudah dihabiskan untuk menghadiri kes ini yang luar biasa cepatnya mahu dihabiskan.

Wartawan hadir

Hari ini kami semua berbesar hati menerima pelawat seorang wartawan dari Malaysiakini yang sudi datang membuat liputan. Satu hari beliau bersama kami dan menghayati sendiri bagaimana kes ini berjalan dan dibicarakan. Katanya dia memang 'pelik' dengan cara polis-polis yang memberi keterangan, dia menggeleng-gelengkan kepala dan beberapa kali tertawa. Hah..baru betul-betul dia menghayatinya bagaimana 'sakit jiwa' dan sakit hatinya kami semua dengan segala keterangan dari saksi polis terutamanya. Saya nyatakan padanya yang kami telah setahun melalui detik-detik begini.

Sebelum ini ketika kes dibicarakan selama dua hari pada 23 April-24 April, kami menerima kunjungan tetamu yang turut sama ingin melihat dan mendengar perjalanan kes Ops Bubar Dun Perak ini. Puan Aliza Jaffar isteri YB Saari Sungib yang kebetulan sedang melalui perbicaraan kesnya yang berkaitan perhimpunan aman juga di Taiping. (gambar di atas)

Tidak sabar pula saya ingin membaca laporan dan pandangan dari pihak ketiga atau dari pihak pemberita pula. Selama ini hanya saya yang melaporkan 'suka-suka' dalam blog dan facebook mengenai perjalanan kes ini.


Pegawai polis tukar-tukar unit


Baiklah, biar saya beri contoh soalan dan jawapan dari perbicaraan kes tadi yang melibatkan peguambela kami Augustine Anthony dan Pegawai PGA Lans Koperal Hassan seperti di bawah: (sebahagian dahulu)

Soalan: Pada 6hb Februari 2009 (hari kejadian), anda bertugas di mana?

Jawapan : PGA

Soalan : Apa itu PGA, saya tak faham saya tak tahu?

Jawapan : Pasukan Gerak Am.

Soalan : Apa warna pakaian anda?

Jawapan : Celoreng Hijau.

Soalan : Lihat gambar di P38, Unit apa yang pakai baju berwarna biru ini?

Jawapan : FRU, PORU, Public Order Riot Unit.

Soalan : Setuju pada hari itu anda dikhaskan bertugas di Unit PORU?

Jawapan : Setuju.

Soalan : Sebenarnya anda bukan dari unit itu?

Jawapan : Tidak Setuju.

Soalan : Hari ini sebagai apa?

Jawapan : Unit PGA.

Soalan : Baju hari ini unit apa?

Jawapan : Tugas Balai.

Soalan : Balai apa?

Jawapan : Polis.

Soalan : Setuju dengan saya awak putar-putar unit?

Jawapan : Tak setuju.

Dua orang peguam Haji Aminuddin dan Augustine

Arahan bersurai

Soalan-soalan seterusnya kepada Lans Koperal Hassan ialah berhubung keterangannya kepada Mahkamah bahawa dia berada di tempat kejadian dan mendengar arahan untuk bersurai bila disoal oleh Pendakwaraya. (sebenarnya bukan soal pun, tetapi lebih kepada memberikan arahan kepada saksi untuk memberi keterangan seperti yang beliau kehendaki). Meleret-leret hingga memaksa semua orang ternganga tertidor.

Soalan : Pukul berapa ada arahan untuk bersurai?

Jawapan : Tak pasti.

Soalan : "Tadi pandai-pandai buat cerita dengar arahan bersurai"
(disambut dengan bantahan dari pihak DPP).

Soalan : Tak pasti pukul berapa.?
(Saksi sering mengambil masa yang lama untuk menjawab seperti seorang yang 'blur' dan tidak faham apa-apa, hingga memaksa Puan Hakim juga membuat komen selepas peguambela juga menegurnya).

Hakim: Semangat la sikit jawab.

Soalan : Pukul berapa gas pemedih mata ditembak?

Jawapan : Selepas amaran bersurai.

Soalan : (Okay tak apa kita ulang tayang video rakaman)
F 38 adakah muka anda dalam frame tersebut.
(Soalan ini ditanya sebagai soal balas kerana pihak pendakwaan sebelumnya telah membuat tayangan video secara perlahan untuk mengesahkan bahawa ada imej yang menunjukkan bahawa saksi ada di dalam gambar video yang dirakamkan dan saksi menjawab ada. Peguambela menyangkan semula video yang serupa dan pada masa kejadian yang sama)
.

Soalan : Frame pada jam 2:25, ada muka anda di situ?

Jawapan : Tak ada.

Soalan : Ada dengar atau tidak gas pemedih mata ditembak?

Jawapan : Tak ada masa ni.(walhal jelas kedengaran di dalam rakaman, tembakan berkali-kali)

Soalan : Ok main semula video. Ada dengar tak bunyi tembakan gas pemedih mata?

Jawapan : Ada.

Soalan : Berapa kali dengar tembakan gas pemedih mata?

Jawapan : Banyak kali tetapi tak tahu berapa.

Soalan : Dalam masa kurang 1 minit tembakan gas pemedih mata berkali-kali. Setuju.

Jawapan : Setuju.

Soalan : Di sepanjang masa 2:25pm ada kedengaran sebarang amaran bersurai?

Jawapan : Ada.

Soalan : Dalam frame yang telah dimainkan ada dengar sebarang arahan bersurai?

Jawapan : Ada.

Soalan : Saya cadangkan gas pemedih mata tidak tahu datang dari arah mana?

Jawapan : Mereka ada di hadapan.

Soalan : Anda dengar orang ramai buat jeritan?

Jawapan : Ya.

Soalan : Ada juga tiupan wisel dibunyikan?

Jawapan : Setuju.

Soalan ; Ada beberapa jenis jeritan di situ yang keluar dari orang ramai. Apakah jeritan yang kedengaran?

Jawapan : Takbir.

Soalan : Apa sebenarnya, jangan beri makna yang sama. Allah hu Akbar kan.

Jawapan : Takbir, Laillaha illallah.

Soalan : Sebab tadi kata ada dengar amaran bersurai. Saya cadangkan tiada arahan bersurai dalam frame ni?

Jawapan : Tak setuju.

Begitulah sebahagian dari 'lakonan' dari babak yang diarahkan untuk polis-polis ini menjawab di mahkamah, apa yang boleh didedahkan apa yang tidak. Walaupun jawapan yang septautnya keluar dari mulut mereka jelas terserlah dalam bahan bukti mereka sendiri mereka elakkan dari menjawab kerana jelas dan terang mereka telah melakukan kesilapan.

Suasana selepas keluar dari kamar mahkamah

Bahan bukti disimpan polis

Sebelum itu pula seorang saksi polis yang bertugas sebagai jurugambar telah turut dipanggil memberi keterangan mengenai gambar-gambar kejadian yang berkaitan.

Beliau sudahpun bersara pada 1 hb Januari 2010. Melalui soalbalas dari peguambela Augustine Anthony, Mahkamah dimaklumkan bahawa beliau hanya menyerahkan gambar-gambar yang hendak dijadikan bahan bukti kepada pegawai penyiasat pada tarikh beliau bersara iaitu hampir setahun selepas kejadian berlaku, dan hampir setahun juga kes dibicarakan.

Soalan : Gambar-gambar diserahkan kepada siapa?

Jawapan : Pegawai penyiasat.

Soalan : Siapa Pegawai Penyiasat?

Jawapan : Inspektor Asyraf.

Soalan : Kamu tahu siapa pegawai penyiasat dalam kes ini?

Jawapan: Tidak Tahu

(Pegawai Penyiasat dalam kes ini IO Ishak.)

Soalan : Siapa pegang gambar-gambar ini?

Jawapan : Simpan di pejabat.

Soalan : Anda tak pasti siapa yang pegang gambar-gambar ini di pejabat?

Jawapan : Ada di pejabat dan diserahkan bila bersara.

Ikut suka hati

Nota: Bahan-bahan yang hendak dijadikan bukti sepatutnya diserahkan kepada mahkamah ketika kes mula disebut di mahkamah. Bahan-bahan ini akan dicatat sebagai bahan bukti diberi nombor exhibit dan akan disimpan di mahkamah. Namun dalam kes ini seringkali pihak pendakwaraya membawa saksi-saksi ke mahkamah dengan membawa bahan bukti yang baru untuk dicatat dan diterima sebagai bahan exhibit.

Perbuatan ini ternyata menimbulkan kemarahan di dan tidak puas hati di pihak Peguambela, sehingga menyebabkan dalam beberpa insiden Augustine akan bangun membantah perbuatan yang tidak bermoral dan beretika ini yang datang dari seorang Ketua Unit Pendakwaan Negeri.

Augustine bangun mencadangkan dengan nada yang marah dan tidak puas hati agar Mahkamah membuat penangguhan setiap kali bahan bukti baru dibawa masuk agar pihak pembela dapat menelitinya bersama-sama.

Puan Hakim membenarkan bahan bukti yang baru diterima dan mengatakan bahawa di lain kali baru perkara ini diambil kira. Sedangkan ini bukanlah kali pertama bahkan bukan juga kali ketiga atau keempat!!!

Ada ketikanya juga Augustine bangun dan membantah soalan-soalan yang dikemukakan oleh DPP kepada saksi yang meleret dan lebih kepada 'feed the answers' kepada saksi. DPP membawa saksi menjawab soalan seperti yang dia kehendaki. " This is unfair to the OKTs" katanya. Memang menaikkan darah betul kerana membuang masa mahkamah dan semua orang.

Bersambung.........

No comments: