Monday, 22 February 2010

33 hari dalam tahanan Polis...masih berdolak dalih...


Pada hari Jumaat sebaik pulang dari menghantar memorandum ke SUHAKAM bagi menyampaikan pengaduan tentang maklumat terkini tahanan ISA warganegara asing, saya terus membawa isteri tahanan ISA warganegara Nigeria Bashirah Abdul Salam membeli sedikit barangan makanan. Saya turut bertanyakan sekiranya ada barangan keperluan lain yang diperlukannya.


Bashirah memaklumkan bahawa dia ingin membeli kasut untuk anak-anaknya. Walau beberapa kali menolak saya tetap mengatakan padanya yang saya akan membawanya serta anak-anaknya untuk keluar membeli barangan pada petang hari Ahad dan memohon dia mengajak seorang lagi isteri Tahanan ISA, Sister Khaleeda.

Alhamdulillah syukur kerana dapat menggembirakan mereka walau sedikit dan walau mereka tetap bersedih kerana sudah sebulan tidak tahu untung nasib suami-suami mereka.

Saya juga berjanji akan membawa mereka bersama dengan rombongan Gerakan Mansuhkan ISA ke Bukit AMan bagi mendesak polis membenarkan mereka dan juga peguam bertemu tahanan ISA. Berkali-kali mereka bertanya bolehkah mereka bertemu dengan suami mereka. Saya hanya nyatakan ini adalah usaha kita. Kita harap dengan usaha yang bersungguh ini polis harus patuh dengan hak tahanan untuk berjumpa dengan peguam dan ahli keluarga mereka.

Mereka nampak sangat ingin untuk bersama kami dan saya mengiakan keinginan mereka untuk membawa makanan, pakaian, buku dan juga Al-Quran untuk suami mereka.

Sayangnya awal-awal pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari Bashirah dan memohon saya untuk menelefon seorang sahabat mereka yang juga warganegara Nigeria. Terus beliau saya hubungi dan mendapat perkhabaran yang mendukacitakan. Bashirah dan Khaleeda tidak dibenarkan mengikuti kami ke Bukit Aman. Saya menerima berita tersebut dengan hati yang terbuka dan lapang kerana inilah dugaan yang terpaksa kami tempuhi sejak dahulu lagi.

Namun walau tanpa ahli keluarga kami tetap ke Bukit Aman kerana tujuan kami yang seterusnya ialah untuk mendesak supaya peguam dibenarkan bertemu dengan tahanan.

Jadi inilah yang kami lakukan pada hari ini jam 11 pagi di Bukit Aman. Gambar di atas, setiausaha GMI telah membuat penerangan kepada para pemberita yang ramai sekali dan sejak dari awal sudah berkumpul di perkarangan Bukit Aman.

Beramai-ramai bergerak ke pintu utama Bukit Aman dan bertemu di Pondok pengawal.


Nalini menyerahkan surat permohonan untuk berjumpa kepada pegawai yang ditugaskan. Nalini menekankan kenapa GMI dan peguam terpaksa bertindak begini, iaitu tahanan telahpun ditahan masuk sebulan lamanya namun tidak mempunyai akses kepada peguam dan ahli keluarga walaupun beberapa permohonan secara bertulis telah dibuatkan.

Ini adalah sesuatu yang amat mengecewakan dan mendukacitakan.


Cif Inspektor Zaki pegawai dari Bukit Aman di Bahagian Penerbitan yang ditugaskan bertemu delegasi GMI sambil dipantau oleh seorang lagi pegawai polis yang lebih berpengalaman bernama Karthik. Kelihatan di belakang Nalini.


Polis amat berlemah lembut dan mesra hari ini...sampai Karthik kata sebab tu lah kami tak marah-marah sebab Mesra...tapi kerja tetap lambat dan tidak dapat beri jawapan dengan segera...alasannya sama saja..kena tunggu arahan orang atasan....akan telefon dan maklumkan dalam masa sehari atau dua hari...sedangkan kita sedang berurusan tentang nasib tahanan yang terus ditahan tanpa dibicarakan dan tanpa ada peluang bertemu dengan peguam dan ahli keluarga mereka.

Tuan Syed Ibrahim membacakan kenyataan akhbar dari Gerakan Mansuhkan ISA.



Cuba tengok siapa yang sedang pantau di belakang tu,....siap dengan ikrar Ketua Polis Negara...terbentang....

Beberapa perkara yang dibangkitkan oleh GMI adalah seperti di bawah:

1. Menuntut pihak polis dan kerajaan membenarkan ahli keluarga menemui tahanan. Walaupun ada yang telah dapat menemui tetapi masih ada yang tidak diberikan hak bertemu. Apakah nasib keluarga? Hak kasih sayang suami dan ayah dirampas begitu sahaja.

2. Menuntut hak guaman - peguam mesti dibenarkan bertemu dengan tahanan. Pihak polis masih melengahkan pemberian hak ini sedangkan sangat penting untuk peguam bertemu dengan tahanan bagi kes habeas corpus, lebih-lebih lagi sekarang ada rancangan kerajaan menghantar pulang tahanan warga asing ke negara asal mereka. Mereka sudah ditahan selama 33 hari!

3. Menuntut pengesahan polis tentang nama-nama tahanan dan tentang keadaan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

4.Menuntut mereka dibicarakan dengan mengemukakan bukti atau dibebaskan segera.

5. Pelaporan berita berhubung tahanan dengan mengaitkan mereka dengan rangkaian keganasan tanpa bukti haruslah dihentikan. Ini merupakan satu tuduhan dan fitnah besar tanpa tahanan berkenaan berpeluang membela diri.

6.Akhbar juga seolah-olah melupakan etika pelaporan dengan memetik 'sumber' yang tidak diketahui kebolehpercayaannya sedangkan tuduhan yang dinyatakan amatlah berat seolah-olah mahu mengukuhkan alasan penahanan di bawah ISA. Ini satu kezaliman yang dikutuk.

3 comments:

ali said...

cayala kak nashita :)

ummu asiah said...

caya apa..memang kena caya..dgn SB je tak leh percaya:) lansung2!!!

Zulk said...

POLIS MUSOH RAKYAT. KAMI BAYAR CUKAI. KAMI BAYAR GAJI POLIS. DENGAN IZIN ALLAH, DUIT YANG KAMI BAYAR SEBAGAI CUKAI, POLIS BELIKAN PAKAIAN DAN BAGI MAKAN ANAK-ANAK.

AKHIRNYA POLIS BERKHIDMAT UNTUK SIAPA?

ORANG KAYA UMNO... BUKAN DENGAR CAKAP RAKYAT, TAPI DENGAR 'ARAHAN ATASAN'.

INSAFLAH...