Saturday, 13 February 2010

Aduan Berfakta atau Andaian: Salahlaku Disiplin Pimpinan PAS

Pada hari Khamis melalui rakan FB dan blog saya mendapat makluman tentang dua majlis kenyataan akhbar yang akan dijalankan. Pertamanya ialah undangan dari Penulis Menuntut Kebebasan Kreatif tentang Press conference on seizure of Malaysiakini books - '1 Funny Malaysia' &'Where is Justice?: Death and Brutality in Custody' yang diadakan di Pejabat Malaysiakini pada Khamis Jam 11 pagi. baca di sini.

Keduanya, undangan dari penulis Blog Tulang Besi melalui beberapa laman blog tentang rancangannya untuk mengemukakan aduan mengenai salah laku disiplin beberapa orang pimpinan PAS di Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut jam 10.30 pagi.

Pada mulanya saya memilih untuk pergi ke Malaysiakini kerana ini maklumat pertama yang saya terima dan juga boleh menjadi pengalaman pertama melawat ke pejabat Malaysiakini yang mana kami di Gerakan Mansuhkan ISA menjadi pelanggannya sejak beberapa tahun dan mereka juga banyak membantu kami dalam menyampaikan berita dan membuat liputan berita mengenai aktiviti GMI.

Namun setelah menerima maklumat tentang Press Conference yang turut akan diadakan oleh Tulang Besi di Pejabat Agong PAS, saya telah memilih untuk ke sana. Mengambil peluang berkenalan sendiri dengan blogger yang mencetuskan beberapa kontroversi di kalangan Ahli PAS lantaran pendedahan melalui blog Malaysia Waves tentang salah laku yang mengaitkan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS.

Saya cuma ahli biasa PAS dan tidak memegang apa-apa jawatan namun sebagaimana juga semua yang menyokong PAS walaupun bukan sebagai ahli, mengambil serius tentang segala maklumat tentang masalah salah laku dan disiplin yang dibangkitkan oleh Tulang Besi atau sesiapa sahaja. Terutama sekali dalam keadaan ramai yang mula membenci dengan sepenuh hati dan sedar akan kejahatan dan kezaliman UMNO dan BN.

Memandangkan rakyat ramai sudah mula hilang kepercayaan kepada UMNO dan BN, mereka mencari parti alternatif untuk berpayung dan menaruh harapan bagi menyelamatkan Malaysia. Satu sahaja alternatif yang ada buat masa ini, iaitulah Pakatan Rakyat.

Namun dalam keadaan begini banyak pula isu negatif yang timbul sejak akhir-akhir ini. PKR dengan masalah yang ditimbulkan oleh ahli UMNO yang masuk PKR, yang kemudiannya diberi jawatan tinggi dan kemudiannya menimbulkan masalah dan terus keluar semula parti. Namun masalah ini selesai apabila individu yang memang tidak boleh dipercayai ini terus saja keluar dari parti dan tidak lagi membusukkan keadaan dari dalam. Lega rasanya.

Namun dalam PAS pula banyak masalah yang didengar melalui laporan dari ahli PAS sendiri yang semuanya mengaku mempunyai bukti yang lengkap dan mahu Pimpinan Pusat selesaikan dan mengambil tindakan tegas agar Parti terus kukuh dan kekal di hati rakyat.

Seperti yang ditulis di dalam satu entry di blog YB Khalid Samad seperti di bawah :

"Apabila ahli marah dan seteru tidak, sepatutnya ianya dilihat sebagai satu petanda bahawa ada yang kurang betul. Jangan kita respon dengan memarahi pula ahli sedangkan kemarahan ahli pasti ada sebabnya. Ahli telah sabar menunggu berbulan-bulan untuk melihat penyelesaian tetapi apa yang terhasil adalah sebaliknya. Tidakkah wajar kekecewaan mereka? Maka timbullah berbagai andaian."
Maka saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan ingin melihat PAS terus kukuh bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dan usaha membentuk sebuah Malaysia yang baru, menyokong usaha blogger Tulang Besi tampil ke hadapan membawa bukti untuk disiasat dan diambil tindakan oleh JK Disiplin PAS.

Mereka yang benar-benar bersalah dan membawa masalah haruslah dihukum sewajarnya dan sekiranya terbukti apa yang dikemukan oleh Tulang Besi adalah salah dan fitnah maka seperti yang dinyatakannya, beliau sedia menerima sebarang risikodan tindakan ke atasnya.

Buat masa ini tidak perlu melemparkan pertuduhan ke atas beliau setelah beliau sendiri berani tampil ke hadapan dan bukan hanya berani menulis di blog semata di samping turut mengemukakan aduan tersebut ke Pejabat Agung PAS dan Jawatankuasa Disiplin melalui emel, sebelum ini, cuma saluran yang digunakan dikatakan tidak betul dan seharusnya dihantar terus kepada Setiausaha Agung PAS.

Sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, (seperti dibawah) Saudara Abdul Rahman (Tulang Besi) juga turut menyarankan agar ahli panel Jawatankuasa Disiplin PAS ini dianggotai oleh Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok yang bukan dari kalangan pimpinan PAS Pusat.

"Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman." dipetik di sini.

Maklumat lanjut mengenai aduan ini boleh dibaca di sini, "Tulang Besi adu salahlaku pimpinan PAS'

No comments: