Tahanan ISA warga Asing: dibebaskan atau dihantar pulang??
Pagi tadi sekali lagi saya menerima panggilan dari Bashirah memohon pertolongan untuk mengambil anaknya dari sekolah.
Katanya beliau mendapat panggilan telefon bahawa beliau sekali lagi dapat bertemu suaminya di Bukit Aman. Anaknya Abdullah telahpun ke sekolah dan dia mahu membawanya bersama ke Bukit Aman untuk pertemuan tersebut.
Maka pada jam 10 pagi tadi saya menjemputnya dan kami sama-sama bertolak menjemput Abdullah dari sekolahnya.
Dalam perjalanan pulang ke rumah kami singgah di Cafe On The Run dan saya membelikan nasi ayam dan 3 ketul ayam panggang beserta air minuman dan makanan kering untuk mereka bawa makan bersama di pertemuan petang ini. Tidak tahulah apa perasaan Bashirah menanti detik pertemuan petang nanti.

Dalam perjalanan bersamanya tadi memang berkali2 dia menyatakan harapan agar suaminya dibebaskan segera seterusnya dapat menyambung kembali thesi PHD yang hampir tamat. Beliau menyatakan juga kekhuatiarannya akan kemungkinan jika suaminya dihantar pulang ke negaranya semula di Nigeria seperti yang didakwa oleh Menteri Dalam Negeri.
Saya memang tidak punya jawapan dan tidak tahu bagaimana untuk menyedapkan hatinya kerana dalam akta Zalim ISA ini segalanya mungkin terjadi dan yang zalim-zalim. Apa yang boleh saya katakan ialah kita mesti terus harus berusaha memberikan tekanan agar mereka segera dibebaskan dan benarkan peguam berjumpa tahanan.
Sebenarnya bila Bashirah memaklumkan bahawa dia dan sebuah lagi keluarga Khaleeda, dibenarkan berjumpa terbit rasa mungkin sesuatu akan berlaku, samada mereka dibebaskan atau sesuatu yang lain kerana baru minggu lepas mereka berpeluang bertemu.
Tengahari tadi menerima mesej dari Nalini, setiausah GMI bahawa KDN telah memaklumkan kepada peguam bahawa seorang tahanan ISA dibebaskan untuk dihantar pulang ke negaranya. Dua orang lagi juga akan dibebaskan dan dalam proses untuk dihantar pulang ke negara asal juga.

Siapa mereka kami belum punya maklumat tetapi hari ini dua keluarga dibenarkan berjumpa. Bashirah akan bertolak jam 3 petang ini sebentar saja lagi. Saya tidak menawarkan diri menghantar mereka ke Bukit Aman kerana tidak mahu peristiwa yang menimpa adik dan ibu Agus Salim seorang tahanan ISA warga Indonesia menimpa ke atas keluarga Bashirah pula.
Ketika itu pegawai Cawangan Khas begitu bengang dan terus mengarahkan Junaidi adik Agus Salim memberitahu saya untuk membawanya pulang ke rumah tumpangan mereka , mengemas semua barang dan pakaian mereka untuk dihantar balik ke Indonesia. SB bertanya Junaidi bagaimana saya pula yang membawa mereka ke Bukit aman.
Segala ketentuan Allah kita pasrah dan reda, tapi perjuangan memansuhkan ISA tetap diteruskan.
No comments:
Post a Comment