Monday, 21 December 2009

Ceramah Yusuf Al-Qaradawi : Antara Pengajaran dan Pendedahan: Fitnah, Hijrah, Perkauman, Strategi Organisasi, Pengiktirafan dan Krisis UMNO

Ceramah Perdana Yusuf Al-Qaradawi di Masjid Shah Alam pada malam 19hb Disember banyak menyentuh tentang individu tersohor di Malaysia iaitulah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pastinya individu ini amat dekat di hati Ulamak tersohor di dunia ini.


Melalui penterjemahan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin ada disebutkan bahawa beliau adalah seorang yang sepatutnya dihargai dan dihormati.

Seterusnya beliau merasa bersyukur kerana dapat melawat Malaysia di dalam sambutan Maal Hijrah yang membawa makna besar. Beliau mengharapkan agar sempena Maal Hijrah ini umat Islam berjaya membebaskan Baitul Maqdis!.

Ingatan tentang lawatannya yang sudah masuk ke tujuh atau lapan kali ke Malaysia dilontarkan kepada seluruh hadirin. Sudah pastinya setiap lawatan itu punya nilai yang tinggi hinggakan beliau masih kekal mengingatinya.


Krisis UMNO 1978

Ingatan segarnya menyebut bahawa lawatannya yang pertama adalah atas jemputan Presiden ABIM dan pada ketika itu DS Anwar Ibrahim baru sahaja dibebaskan dari ISA. Ketika itulah Syeikh Yusuf Al-Qardawi mula mengenali tokoh yang bernama Anwar Ibrahim ini.

Beliau seterusnya membuat ingatan kembali (flash back) akan satu peristiwa yang amat bersejarah dalam sejarah politik tanah air iaitulah krisis UMNO di tahun 1978. Yusuf Al Qaradawi menyebutnya sebagai perkembangan yang tragis dan krisis yang besar di Malaysia. Beliau telah dijemput oleh Presiden UMNO ketika itu untuk datang ke Malaysia bagi membantu membaiki krisis yang melanda ketika itu. Beliau menyebutkan bahwa sebuah helikopter sudah siap sedia membawa beliau hingga beliau dapat menziarahi beberapa tempat dalam negara.


Pastinya hebat sekali masalah yang menimpa negara ketika itu terutama sekali yang menimpa UMNO hingga perlunya dijemput seorang Ulama' tersohor di dunia untuk datang membaikinya. Dari pembacaan yang sedikit didapati masalah ketika itu ialah berkaitan dengan Negeri Kelantan.

dipetik dari sini

"Tetapi perpaduan Melayu atas gabungan PAS dan UMNO dalam BN itu tidak kekal lama. Pada tahun 1978 perpecahan telah berlaku di dalam BN terutamanya antara PAS dan Umno. Ketika itu Umno dan kerajaan Pusat dipimpin oleh Tun Hussein Onn. PAS telah disingkir oleh Tun Hussein Onn dari BN dan kerajaan Pusat. Pergolakan berlaku di Kelantan dengan siri-siri tunjuk perasaan yang didalangi oleh Umno. Kerajaan Pas di Kelantan digulingkan secara tidak demokratik. Kelantan diperintah oleh satu badan khas semacam Majlis Gerakan Negara (Mageran). Pilihanraya negeri segera diadakan. Parti Berjasa yang ditubuhkan secara tergesa-gesa dari serpihan Pas telah menang dan berkuasa. Tetapi untuk sementara sahaja. Kemudian Umno mengambil alih pemerintahan dari Berjasa di Kelanan dalam pilihanraya umum 1982 hinggalah pada tahun 1990 apabila kerajaan Umno di Kelantan tewas kepada PAS pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat."

Pengiktirafan dan Terharu

Yusuf Al Qaradawi juga ada menyebut bahawa DS Anwar Ibrahim menunjukkan peningkatan yang tinggi yang patut mendapat pengiktirafan apatah lagi apabila beliau dilantik sebagai Presiden UIA sejak tahun 1983. Boleh dapat maklumat di sini. Ini adalah satu pengiktirafan yang tinggi.

"Dari keberkatan Hijrah Nabawwiyyah ini Allah memungkinkan untuk saya datang ke Malaysia supaya dapat berjumpa dengan ramai rakan-rakan pendakwah. Sebaik-baik tempat untuk berjumpa ialah di Masjid, di tempat yang dinobatkan untuk menyebut nama Allah. Saya sungguh terharu kerana dapat datang semula ke Malaysia sempena Hijrah Nabawiyyah ini." Begitulah sedikit ucapan yang menggambarkan betapa terharunya dan gembiranya As Syeikh Yusuf dalam kedatangannya ke Malaysia untuk kali yang ke 8 setelah tempuh masa berpantang yang agak lama iaitu 15 tahun.

Peristiwa HIJRAH

Mengenai tajuk Hijrah pula beliau mengungkapkan seperti di bawah:

" Kerana pentingnya dan mulianya sempena peristiwa Hijrah Rasululullah saya telah memilih tajuk mengenai Hijrah dan bukannya menceritakan sesuatu yang sudah didengar. Hijrah mungkin sekali semua telah dengar dan hafal. Dalam mendengar kesah Sirah tidak semua boleh dipercayai. Contohnya kisah dua ekor burung merpati dan labah-labah dan sebagainya, belum disabit, belum ada nas di mana-mana. Allah boleh menurunkan perajurit-perajuritnya yang tidak boleh dilihat oleh mata, Allah turunkan Malaikat yang tidak boleh dilihat oleh mata"

Beliau juga menyentuh tentang "Bagaimanakah meninggalkan anak-anak, harta dan keluarga sebagai sebuah kemenangan" dalam mengaitkan tentang pengorbanan mereka yang berhijrah bersama Rasulullah. Sudah tentu dikaitkan dengan pengorbanan yang sama sepanjang zaman yang dilakukan oleh semua yang berjuang menegakkan agama, keadilan dan menentang kezaliman. Jadi kita tidak perlu resah dan kecewa.

Mengambil pengajaran dari Ayat Al Quran yang disebutkan "Mengapa anda tidak menolong dan menyokong ketika Allah menolong dan menyokong"

At Taubah : 40. Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seseorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya: Janganlah berduka cita, sesungguhya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (QS. 9:40)

Kemenangan yang sebenar

Beliau juga menyebut bahawa kemenangan ialah apabila seseorang berjaya menahan PRINSIP dan akidah walau disiksa dan dizalimi dengan berbagai-bagai dugaan. Sudah tentu kita dapat membayangkan individu-individu yang berkaitan dengan kata-kata ini.

Namun sudah tentu semuanya yang menjadi panduan untuk kita ialah dari kesah Nabi dan sahabat-sahabat dan Ulama' yang terdahulu. Menurut beliau Sahabat-sahabat Nabi ada yang sampai sanggup dibunuh syahid sambil menyebut contoh As Syahidah yang pertama iaitulah Ummu Ammar, Sumayyah dan diikuti ahli keluarganya.

Contoh lain yang disentuh ialah penderitaan penduduk Mekah selama 13 tahun, sampai ada yang terpaksa makan daun dan rumput-rumput yang berduri sehingga berdarah mulut-mulut mereka. Begitulah seksanya umat Islam ketika itu sehinggalah mereka berhijrah ke Madinah...

" Begitulah kemantapan, kesabaran, itulah kemenangan yang sebenar" "Kesabaran Rasulullah (SAW) adalah satu kemenangan"

Yusuf Al-Qardawi mengambil beberapa pengajaran dari kesah penghijrahan Ar Rasul (SAW) iaitulah tentang perancangan yang sempurna pilih 'figure' yang sesuai untuk setiap tugasan, sebagai contoh Saidina Abu Bakr sebagai peneman, Saidina Ali sebagai pengganti tempat tidurnya dan Asma' sebagai penunjuk jalan yang cekap dan pembekal makanan dan menyampaikan berita tentang gerak geri musuh..

Yakin dengan janji Allah

Ketika peristiwa ini jugalah Allah menenangkan Ar Rasul dengan ayat At Taubah : 40...sama pengajarannya untuk kita dalam melawan golongan yang zalim kini...Allah pasti akan tunaikan janjiNya dengan menurunkan pembantu-pembantuNya yang tidak dapat kita lihat untuk kita sentiasa tenang menghadapi musuh yang zalim.

Nasihat beliau kepada kita ialah "janji-janji dan dasar Allah yang penuh dengan ayat-ayat Allah itulah yang paling sempurna. Orang Islam haruslah mengatur operasi perjalanan organisasi/siyasah dan strateginya. Allah akan bantu selepas itu. Allah sokong Baginda Rasul dengan tentera-tentera dan perajurit yang anda tidak dapat lihat."

Permulaan Masyarakat Islam

Pengajaran yang kedua ialah tentang Hijrah sebagai permulaan kepada sesuatu masyarakat yang berasaskan Islam. Belia menyebut contoh ayat di dalam Al Fatihah yang menunjukkan semangat berjamaah. Beliau menegaskan bahawa Islam bukanlah satu agama yang INDIVIDUALISTIK tetapi adalah atas semangat berkumpulan dan berjamaah, sesuatu yang digalakkan dan disarankan di dalam Al Quran.

Tiada sifat Perkauman

Beliau juga menyentuh tentang perbezaan bangsa dan warna kulit, tiada beza antara orang Arab dan yang bukan Arab, tiada beza antara kulit putih dan hitam, masyarakat yang mahu dibina oleh Ar Rasul (SAW) ialah masyarakat yang membebaskan diri dari sifat perkauman...sudah tentu contoh tentang panggilan 'anak orang hitam' oleh Abu Dzar menjadi pengajaran yang paling penting. Dan bagaimana Abu Dzar terus insaf dan ingin menghapuskan dosanya setelah menerima teguran. Ini diambil sebagai pengajaran bahawa masyarakat yang ingin dibina ialah Masyarakat yang berperikemanusiaan, mempunyai keluhuran budi, jati diri, mengutamakan orang lain dari diri sendiri dan bukan masyarakat yang hanya teori..masyarakat inilah yang mengamalkan keluhuran.

Sungguh sesuai tentang isu perkauman dan Ketuanan Melayu dan juga BTN yang heboh diperkatakan kini. Moga semua mengambil pengajaran terutama sekali golongan yang masih mahu melaungkan tentang KETUANAN MELAYU.

Tentang Fitnah

Akhir sekali yang sempat dicatat ialah tentang FITNAH "Kamu menganggap bahawa fitnah itu mudah tetapi ianya besar di sisi Allah"

Akhir sekali saya tutup dengan lampiran dari blog Anwar Ibrahim:

"Pada sebelam malamnya pula, kehadiran ulama tersohor, Syeikh Yusuf al Qaradawi disambut kira-kira 4,000 hadirin yang memenuhi ruang solat Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk mendengar syarahannya. Dr Yusuf yang tiba kira-kira jam 7 petang, kemudiannya mengimamkan solat maghrib. Ilmuan Islam asal Mesir itu mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan “orang munafik yang sentiasa menyebarkan fitnah dalam masyarakat Islam.” Saya malahan terharu apabila beliau menyebut nama saya, ditambah dengan perkataan “al-muftara alaih” – yang sedang difitnah. Katanya, pendustaan kaum munafik di zaman ini “lebih dahsyat daripada zaman silam”. Allah mendedahkan kejelikan mereka kerana menjatuhkan martabat orang lain. Menurutnya, terdapat ayat-ayat dalam surah Al-Taubah yang menjelaskan sikap, sifat dan ciri-ciri orang munafik. “Mereka menuduh tanpa menampilkan saksi bagi tuduhan tersebut. Ia perlu ditampilkan empat orang saksi. Tidak menampilkan empat orang saksi, maka mereka adalah sesat dan dusta,” katanya."

Nota penulis: Apa yang ditulis adalah berdasarkan apa yang dapat didengari oleh penulis dari ucapan terjemahan Ustaz Ghani Shamsuddin. Ada kemungkinan apa yang ditulis adalah salah hasil dari silap pendengaran, penulis memohon maaf dan dibetulkan fakta jika ada. Terima Kasih

No comments: