Kerajaan Zalim : Penahanan Terbaru di bawah ISA.
Tajuk muka hadapan Utusan Melayu hari ini....10 ditahan ISA. Disyaki terlibat pengganas antarabangsa.
Kami di Gerakan Mansuhkan ISA mula mendapat berita tentang penangkapan beberapa orang di bawah akta ISA pada hari Selasa yang baru lepas. Kami mendapat maklumat tersebut dari seorang peguam yang menguruskan permohonan Habeas Corpus bagi mereka yang telah ditangkap.
Sekumpulan polis UTK Unit Tindakan Khas telah datang dan merempuh pintu rumah dengan ganas dan mengarahkan mereka semua tidak melakukan apa-apa dan meletakkan handphone masing-masing.
Hujung sekali yang sedang bercakap ialah Mohd Yunus Zainal Abidin, 29 salah seorang yang telah ditangkap pada malam kejadian dan dibebaskan. Beliau menceritakan semula apa yang telah terjadi.
Polis ini semuanya bersenjata pistol dan senapang yang diacukan kepada semua mereka yang ada di dalam kelas pengajian tersebut. Mereka semua telah digari dan disumbat masuk ke van dan lori polis lalu dibawa pergi ke PULAPOL untuk disoalsiasat.
Menurut Ustaz Yunus salah seorang mangsa yang telah dibebaskan pada jam 3 pagi keesokannya, kelas pengajian yang mereka ikuti adalah kelas pengajian yang sering dan biasa dilakukan. Sheikh yang mengajarnya menggunakan kitab Sahih Bukhari. Rumah tempat pengajian diadakan juga adalah milik Ustaz yang mengajar mereka.
Menurutnya polis yang menangkap mereka mengatakan bahawa mereka ditangkap berkaitan dengan Keselamatan Dalam Negeri.
Cara penangkapan oleh pihak polis ke atas mereka adalah sangat ganas dan menggunakan kekerasan.
Di sebelah kiri ialah Homam Abdulalim, seorang ahli keluarga kepada mangsa yang ditangkap. Beliau ialah saudara kepada salah seorang yang telah ditangkap. Beliau menyatakan rasa kekesalan ke atas apa yang berlaku.
Beliau menyatakan rasa kerisauan di hatinya akan keadaan kesehatan Sheikh Aiman yang menurutnya dua hari sebelum ditangkap telah dimasukkan ke hospital selama dua hari akibat masalah jantung dan hingga ke hari ini beliau masih belum dapat menghubungi dan bercakap dengan Sheikh Aiman,
Apa yang lebih dikesalkan ialah mereka hanyalah sekumpulan manusia yang sedang mencari ilmu, bukan baru sebulan atau dua, malah sudah bertahun juga ianya berjalan. Kuliah dijalankan di dalam bahasa Arab dan kebanyakan dari mereka yang hadir adalah pelajar yang mempunyai dokumen yang sah untuk belajar di sini.
Apakah menuntut ilmu juga sudah menjadi satu kesalahan dan akan dikaitkan dengan pengganas. Tidak pernah timbul isu keganasan di Malaysia, melainkan Malaysia sedang tunduk kepada desakan USA untuk membendung keganasan yang dikaitkan dengan gerakan Al-Qaeda dan dan JI Jamaah Islamiyyah.
Kejadian tangkapan ini juga amat mengejutkan memandang baru beberapa bulan yang lepas ramai tahanan yang telah dibebaskan dan kerajaan berada di dalam situasi inginkan akta Zalim ISA ini dipinda.
Amer Hamzah, wakil peguam GMI menyatakan tindakan yang sedang dan akan diambil bagi pihak keluarga dan tahanan.
Sebahagian dari Kenyataan Media dari Gerakan Mansuhkan ISA yang dikeluar pada 28hb Januari bagi mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri dalam menggunakan ISA.
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terkejut dengan penahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam keadaan di mana kerajaan bercadang meminda Akta tersebut. GMI mengecam penahanan terbaru tersebut. Penggunaan ISA melanggar prinsip asas hak asasi manusia, keadilan dan piawaian antarabangsa berhubung hak asasi.
Laporan berita semalam menyebutkan Menteri Dalam Negeri sebagai berkata bahawa 10 orang telah ditahan di bawah ISA kerana keganasan dan rangkaian pengganas antarabangsa. Beliau mengesahkan bahawa 10 berkenaan dikaitkan dengan pertubuhan pengganas antarabangsa.
Walau bagaimanapun, menurut maklumat yang dierima GMI, seramai kira-kira 50 orang telah ditahan bawah ISA pada hari Khamis, 21 Januari 2010 di Sungai Cincin, Gombak semasa mereka menghadiri kuliah agama di sebuah rumah di sana. Rumah tersebut telah dirempuh masuk oleh Unit Tindakan Khas Polis menggunakan kekerasan dan senjata. Kelihatannya, menjalankan kuliah agama boleh ditafsir sebagai mengancam keselamatan negara dan pasukan keselamatan besar mesti dikerahkan.
Daripada 50 orang yang ditahan malam tersebut, hanya 12 orang telah ditahan lanjutan manakala bakinya telah dibebaskan sekitar jam 3 pagi 22 Januari 2010. Daripada 12 berkenaan, GMI telah memperolehi 9 nama dan masih mengenalpasti 3 lagi. Sembilan orang berkenaan ialah:
1. Azzahari bin Murad (warganegara Malaysia)
2. Aiman Al Dakkak (warga Syria), Pelajar PHD USM
3. Mohamed Hozifa (warga Syria)- anak kepada Aiman Al Dakkak
4. Kutiba Al-Issa (warga Syria)- Mahasiswa
5. Khalid Salem (warga Yaman)- Mahasiswa
6. Luqman Abdul Salam (warga Nigeria)- Mahasiswa
7. Hassan Barudi (warga Syria)
8. Hussam Khalid (warga Jordan)
9. Abdul Alhi Bolajoko Uthman (warga Nigeria)
GMI percaya penahanan terbaru ini mungkin tercetus akibat daripada tekanan antarabangsa tentang ancaman pengganas di Malaysia. Secara khusus, ia mungkin berkait dengan amaran pengawasan perjalanan Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lalu kerana kemungkinan wujudnya kumpulan penjenayah dan pengganas yang merancang atau berniat untuk melakukan tindakan keganasan ke atas warga asing di timur Sabah. Ia juga mungkin ada kaitan dengan apa yang berlaku di AS dan UK. Tetapi tiada yang boleh disahkan dengan pasti. Menggunakan ISA melalui pengakuan paksaan dan mencipta plot tanpa bukti adalah tidak adil dan berniat jahat. Apa-apa pun, ISA merupakan alat yang paling mudah digunakan untuk mengalihkan tekanan antarabangsa dengan menjadikan warga asing, majoriti kali ini dari rantau Timur Tengah, sebagai kambing hitam.
GMI menilai tinggi keselamatan negara dan tidak merelakan aktiviti pengganas, tetapi hak seseorang terhadap perbicaraan yang adil tidak boleh dinafikan dalam keadaan apa pun. Sekiranya kerajaan memiliki bukti terhadap suspek, kami menggesa kerajaan untuk mendakwa mereka dalam mahkamah terbuka, sesuai dengan hak mereka untuk membela diri, hak mereka untuk mendapatkan khidmat peguam dan hak mereka terhadap perbicaraan yang adil. Jika tidak, maka mereka perlu dibebaskan tanpa tangguh dan tanpa syarat. Penahanan yang dibuat tidak menjustifikasi kepentingan ISA. Penahanan yang dibuat tanpa bukti dan tanpa bicara sebenarnya menjustifikasi pemansuhan akta zalim ISA. Menuduh seseorang melakukan jenayah tanpa mengemukakan bukti yang kredibel adalah fitnah. Menahan seseorang tanpa bicara dan tanpa peluang membela diri adalah tidak bertamadun!
Amatlah memalukan bahawa kerajaan mengamalkan ‘double standards’ dalam isu berhubung ISA. Di satu pihak, rancangan untuk mengkajisemula ISA dan tindakan membebaskan tahanan diumumkan tahun lalu tetapi di pihak yang lain, penahanan terbaru secara sembunyi tanpa sebarang pengumuman dibuat. Amalan kerahsiaan dan tidak bermaruah yang menyelubungi ISA jelas bercanggah dengan prinsip keadilan, kebenaran dan ketelusan. Ianya sekali lagi menggambarkan citra sebenar ISA yang sangat arbitrari dan tiada kena mengena dengan kselamatan negara. Ia jelas mengesahkan ISA sebagai alat politik untuk membisukan penentang dan pengkritik kerajaan. Kami menuntut kerajaan untuk membebaskan semua tahanan dengan segera atau bicarakan mereka di mahkamah keadilan.
GMI menggesa rakyat Malaysia untuk menuntut pembebasan semua tahanan ISA dan mansuhkan ISA. Marilah kita terus berjuang untuk hak kita dan untuk Malaysia yang lebih sejahtera tanpa ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
Mansuh ISA!!!
Bebaskan Semua Tahanan!!!
No comments:
Post a Comment